Oleh DIANA AMIR & SABRINA SABRE
TREND generasi muda yang kerap menyumbat telinga dengan earphone mahupun memakai headphone membuatkan mereka asyik dalam dunia sendiri sehingga memberi kesan kepada tingkah laku.
Menurut Pensyarah Kanan dan Kaunselor Berdaftar Jabatan Bimbingan & Kaunseling di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norsayyidatina Che Rozubi, ia juga turut dipengaruhi oleh teknologi dan media sosial.
“Pengaruh tersebut menyebabkan remaja mengalami isolasi digital di mana golongan ini lebih banyak berinteraksi secara maya daripada secara bersemuka seterusnya mengakibatkan gangguan terhadap kemahiran komunikasi kerana terlalu asyik dengan dunia maya berbanding dunia realiti.
“Untuk mengatasi masalah ini, penting untuk mengambil langkah-langkah tertentu yang menggalakkan keseimbangan antara penggunaan teknologi dan interaksi sosial.
“Ini kerana terdapat kesan yang tidak baik dari segi komunikasi, cara bersosial, kesan terhadap pencapaian akademik dan kerjaya, perubahan pola tidur, kesihatan pendengaran, gangguan emosi dan mental. Secara tidak langsung membentuk sikap individualistik dalam diri serta mengabaikan orang lain dan persekitaran,” ujarnya.
Norsayyidatina berkata terdapat kesan negatif lain sekiranya penggunaan tersebut di luar kawalan.
“Penggunaan headphone yang berpanjangan boleh menyebabkan isolasi sosial, di mana remaja lebih cenderung untuk menarik diri daripada aktiviti sosial dan lebih suka menghabiskan masa bersendirian.
“Selain daripada kesan fizikal, penggunaan headphone yang berlebihan juga membuatkan individu tersebut mungkin mengalami peningkatan tahap stres dan kebimbangan. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan teknologi secara berlebihan
boleh mengganggu tidur yang seterusnya boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan kesejahteraan keseluruhan,” jelasnya.
Tambah beliau, dari segi akademik, penggunaan headphone boleh memberi kesan positif antaranya headphone boleh membantu remaja untuk fokus semasa belajar dalam persekitaran yang bising.
Namun, jika digunakan tanpa kawalan, ia boleh mengganggu tumpuan dan prestasi akademik sebagai contoh muzik atau permainan yang terlalu menarik perhatian boleh mengalihkan tumpuan mereka daripada tugas-tugas penting.
Mengulas lanjut, Norsayyidatina berkata menjaga keseimbangan antara penggunaan teknologi seperti headphone dan pengembangan perasaan terhadap orang lain (empati) adalah penting untuk memastikan generasi remaja tidak terus terisolasi dalam dunia digital mereka.
“Beberapa pendekatan holistik dapat diterapkan antaranya pendidikan tentang empati dan kesedaran emosi melalui pembinaan karakter dalam diri melibatkan empati terhadap orang lain, kesedaran emosi dan komunikasi efektif dalam kurikulum sekolah.
“Selain itu, pengaturan penggunaan headphone; kesedaran situasional yang menggalakkan golongan remaja untuk tidak menggunakan headphone dalam situasi yang memerlukan perhatian sosial seperti saat bersama keluarga atau di acara sosial dan akhir sekali menerusi aktiviti sosial dan emosional sebagai contoh galakkan mereka untuk bersosial secara positif dalam acara komuniti yang memerlukan kerjasama dan komunikasi,” jelasnya penggunaan headphone bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita.
Dalam pada itu, Norsayyidatina berkata ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan dalam usaha untuk tidak melahirkan generasi pekak pada masa akan datang.
“Antaranya menjadi model dan contoh terbaik pada remaja; menetapkan had dan peraturan penggunaan; menggalakkan kegiatan alternatif atau bersosial secara bersemuka; mendorong interaksi sosial secara maya
dan nyata; pendidikan dan kesedaran serta pemantauan dan penyesuaian penggunaan teknologi,” katanya.