Berita

Hanya remaja lahir 2007 dipanggil jalani PLKN 3.0

- Diterbit 3 November 2023 4:20 AM MYT

REMAJA yang lahir pada tahun 2007 dan keatas akan dipanggil untuk menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bermula pada tahun 2024.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan berkata secara dasarnya, kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu dan ia selaras
dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.

“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, tular di laman sosial berhubung had umur kelayakan menyertai PLKN 3.0 sehingga mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Terdahulu, dilaporkan pelaksanaan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanakan membabitkan dua fasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Mohamad dilaporkan berkata, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas