SELEBRITI popular Datuk Afdlin Shauki antara individu yang mengikuti dan peka dengan kes pembunuhan kanak-kanak sejak dahulu lagi.
Menyentuh tentang kanak-kanak autisme yang mati dibunuh baru-baru ini, Afdlin mengakui ia satu perkara yang sangat subjektif untuk diperkatakan.
Baginya, hanya mereka berpengalaman menguruskan anak seperti itu yang tahu cabaran perlu dilalui.
Dalam masa yang sama, beliau kagum dengan ibu bapa yang mempunyai anak autisme dan menyifatkannya sebagai insan hebat.
“Saya tak ada anak autisme pun boleh renggang dengan mereka kerana terlalu kuat bekerja. Anda bayangkan bagaimana hebatnya ibu bapa yang anak-anak mereka autisme.
“Saya ada kawan yang anaknya autisme, apa yang berlaku dia berhenti kerja. Dia jadi bapa sepenuh masa. Saya tanya macam mana nak teruskan kehidupan dan sediakan keperluan keluarga, katanya Allah akan cari jalan untuknya,” kongsinya.
Tambahnya isu jenayah terhadap kanak-kanak ini membuatkan ibu bapa mahupun masyarakat berwaspada akan bahaya yang mungkin terjadi.
“Kepada mereka yang mempunyai anak yang ada kelainan upaya ini (autisme), mereka sudah belajar erti pengorbanan sejak anak mereka kecil lagi.
“Jadi saya yakin, mereka telah lama berwaspada akan keselamatan anak mereka. Tambah pula, sekarang macam-macam berlaku, sudah tentu ibu bapa lebih cakna dalam apa sahaja hal yang melibatkan anak.
“Saya memang ‘tabik’ sangat famili yang mempunyai anak autisme atau kelainan upaya.
Mereka sangat-sangat hebat. Cakap memang mudah, untuk berhadapan situasi anak autisme, hanya yang betul-betul hebat boleh memegang amanah Allah itu,” ujarnya. – WILAYAHKU