Artikel

Hannah Yeoh dan Olimpik

HANNAH (empat kiri) bersama sebahagian atlet negara ke Olimpik
- Diterbit 16 Ogos 2024 3:20 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

OLIMPIK Paris telah berlalu. Selepas ini Los Angeles, California, Amerika akan menjadi tuan rumah Olimpik 2028. Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, Malaysia pulang tanpa emas.

Ekoran itu, ramai yang menghalakan serangan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Hannah yang bermula baik ketika mula menjadi menteri kini menjadi sasaran kemarahan.

Padahal, ini bukan kali pertama Malaysia gagal membawa pulang emas dari Olimpik. Paling baikpun Malaysia hanya membawa pulang pingat perak.

Namun, Hannah terpaksa berdepan dengan kecaman teruk kerana beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan ketika media sosial menjadi media utama atau media arus perdana.

Ketika ini semua orang bebas mengeluarkan pendapat. Semua orang boleh menjadi wartawan dan editor kepada media atau lebih khusus media sosial.

Kegemilangan Hannah sebagai menteri mula terganggu apabila syarikat yang dimiliki bersama oleh suami beliau dikatakan mendapat kontrak dari Kerajaan Negeri Selangor.

Padahal, hanya dua syarikat sahaja di Malaysia yang mempunyai kepakaran yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam melaksanakan projek untuk rakyatnya itu.

Namun oleh kerana salah seorang pemilik syarikat itu suami beliau, Hannah diserang. Kononnya berlakunya pilih kasih dan kroni dalam pemberian kontrak atau projek itu.

Serangan kepada Hannah meningkat ketika negara membuat persiapan untuk Olimpik Paris kali ini. Ia bermula dengan pakaian rasmi untuk peserta Olimpik Paris 2024.

Walaupun keputusan tentang baju itu terletak kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun Hannah menjadi sasaran serangan.

Padahal di sana ada Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria. Ada juga Chef de Mission Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin. Kedua-duanya sepatut menjadi sasaran.

Memang Norza selaku Presiden MOM teruk juga kena apabila kelibat anak dan isteri beliau juga kelihatan di Paris. Jawapan Norza bahawa beliau ada kouta untuk berbuat demikian menaikkan darah para netizen ketika pemain yang berjuang untuk negara tidak boleh membawa orang-orang utama untuk membantu mereka memberikan pingat untuk negara.

Namun kesilapan fatal untuk Hannah adalah apabila beliau bergambar dengan pemain badminton dari Thailand yang mendapat pingat emas Olimpik kali ini. Ia berlaku ketika penyokong pemain Malaysia, Lee Zii Jia masih bersedih apabila beliau kalah kepada pemain Thailand itu di peringkat separuh akhir. Hannah dianggap tidak sensitif dengan sentimen ini.

Kini Olimpik Paris telah berlalu. Walaupun Hannah berduka ekoran serangan ini, beliau tidak perlu rasa bersalah sepenuhnya di atas apa yang berlaku di Paris.

Benar kata Datuk Hamidin, ketua pasukan Malaysia ke Olimpik. walaupun kita gagal mendapat pingat tetapi kebanyakan atlet negara telah menampilkan peningkatan dalam temasya sukan terbesar dunia ini.

Hannah dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bermula sekarang untuk membawa Malaysia ke puncak. Hannah mempunyai ciri-ciri khusus yang banyak untuk membolehkan beliau membina legasi sendiri selepas tidak lagi menjadi menteri nanti.

Saya setuju dengan kawan saya Norman Radzuan yang mencadangkan agar Malaysia membuat perancangan strategik untuk membawa pulang emas dalam Olimpik akan datang.

Malaysia tidak boleh bertanding dengan negara-negara maju seperti Amerika, China, Australia, Jerman atau Rusia dalam sukan-sukan utama yang menjadi tumpuan dunia. Bola sepak, olahraga dan seumpamanya bukan kemampuan kita untuk berlawan dengan mereka.

Indonesia menunjukkan contoh yang baik dalam hal ini. Tiba-tiba saja kita mendengar tentang sukan panjat dinding yang membolehkan pemain Indonesia membawa pulang pingat emas untuk negaranya.

Sahabat saya Norman mencadangkan agar sukan memanah dan menembak dipilih oleh Malaysia untuk diberikan tumpuan. Beliau mencadangkan sukan memanah diajar sejak dari sekolah lagi kerana sekarang ini ramai yang berminat dengan sukan memanah ini.

“Ketika ini dalam acara memanah, peserta negara ke Olimpik adalah mereka yang dihantar keluarga untuk belajar memanah. Sedangkan begitu ramai bakat-bakat semula jadi yang tertinggal,” kata Norman, bekas editor akhbar.

Selepas apa yang berlaku, Hannah perlu menarik nafas panjang-panjang dan mengatur langkah yang perlu demi negara. Buangkan kekesalan jauh-jauh. Tidak perlu jawab semua kritikan yang diberikan, tetapi jawab dengan tindakan dan perancangan strategik.

Go Hannah. Malaysia Boleh!

PENULIS sekadar memberikan pandangan bukan untuk memperlekehkan sesiapa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas