Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Hannah tiada kaitan dengan tawaran kontrak kerajaan Selangor – SPRM

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 27 Mei 2024 6:48 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang susulan pemberian kontrak terbabit kepada suami Hannah.

“Kita melihat dari segi undang-undang apabila seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi yang mendapat (kontrak) itu tiada kena mengena dengan tugas dan tanggungjawab (pihak yang dibangkitkan)… itu bukan kesalahan.

“Contohnya seperti yang dilaporkan media mengenai suami Hannah Yeoh yang mendapat kontrak daripada Selangor dan menteri itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“… tetapi ia berlainan sekiranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Beliau berkata pihaknya menerusi pegawai penyiasat sedang melaksanakan perbincangan dengan peguam kepada Tan Sri Mohkzani dan Mirzan bagi mendapatkan tempoh masa untuk melaksanakan notis terbabit.

“Tak silap saya belum terima (pengisytiharan harta) tetapi baru-baru ini ada perbincangan antara pegawai penyiasatan dan peguam untuk memperincikan tempoh masa berkenaan,” katanya.

Azam sebelum ini mendedahkan bahawa Dr Mahathir antara individu berprofil tinggi yang disiasat SPRM berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anak beliau, Mirzan dan Mohkzani diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas