PELAKON Hanez Suraya meluahkan rasa sebaknya apabila bertemu dengan seorang gelandangan tua di sekitar stesen minyak Petron, Dato Keramat, Kuala Lumpur.
Hanez yang sengaja mengunjungi insan yang dikenali sebagai pakcik Husin,64, setelah diberitahu seorang kawan, mengaku sebak dan hampir menangis mengenangkan kesusahan hidup yang dilaluinya.
Pelakon drama bersiri Love You Mr. arrogant ini berkongsi rasa kisah lelaki tersebut di instagram story miliknya.

“Rupa-rupanya pakcik ni homeless (gelandangan). Sudah lapan tahun dia tinggal bawah tangga. Saya tidak terkata apa ketika melihatnya.
“Saya ajak pergi kedai beli nasi, tapi dia tak nak, dia nak roti kaya sahaja. Dia marah saya sebab suruh ambil (makanan) lagi. Saya ni risau (bekalan) esok-esok lusa.
“Dia cakap dia nak tu saja. Dia marahnya saya sebab dia tak nak susahkan saya. Ya Allah, masa ni saya tahan saja rasa nak menangis,” luah Hanez Suraya yang turut membekalkan topeng muka dan cecair pembersih tangan.

“Saya beri sanitizer dan mask. Dia pilih mask warna kuning sebab comel macam perempuan katanya. Iyalah.. Dia terdedah dengan persekitaran, jadi kena ada mask untuk perlindungan.”
Hanez juga cuba meminta nombor telefon untuk memudahkan komunikasi dan sesiapa yang mahu membantunya, namun pakcik Husin tidak memahami pertanyaan Hanez.
Sikap murni Hanez Suraya boleh dijadikan contoh kepada masyarakat agar sentiasa mengambil berat serta Prihatin terhadap golongan yang lebih memerlukan. – WILAYAHKU