KIRA-kira 186,334 orang telah menghadiri latihan anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) melalui 803 program yang telah dilaksanakan bermula Januari hingga November lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata program utama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) ialah Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang memberi tumpuan kepada Sejarah Kenegaraan, Memahami Perlembagaan Persekutuan sebagai bingkai kehidupan masyarakat Malaysia, penghayatan Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan dan konsep Malaysia MADANI.
“Elemen-elemen utama ini telah digarap untuk menghasilkan Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI. Melalui program ini, ianya diharapkan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang patriotik, berdisiplin dan berintegriti serta progresif dalam usaha meneruskan agenda pembinaan negara bangsa.
“Keberkesanan program ini dinilai oleh peserta melalui penilaian yang dilaksanakan. Sehingga November 2024, purata penilaian keberkesanan program sangat baik iaitu dengan penilaian 4.60 / 5.00 (Skala Likert),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr Awang Sariyan pada sesi jawapan lisan di Dewan Negara semalam.
Zaliha berkata pelaksanaan Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI merangkumi kumpulan sasar yang lebih menyeluruh dan merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk kepimpinan negara, kakitangan kerajaan, belia, komuniti setempat dan juga komuniti digital.
“AKM turut melaksanakan Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Agensi Penguatkuasaan (KEYAKINAN) berkolaborasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Diaspora Malaysia yang melibatkan pelajar-pelajar tajaan ke luar negara. Bermula Januari hingga November,” katanya.
Ujar beliau, Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan terdedah kepada globalisasi yang melanda akibat daripada ledakan teknologi maklumat, pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu amat diperlukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada masyarakat majmuk.
“Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI ini perlu diperhebatkan bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat Malaysia,” katanya.-WILAYAHKU