INISIATIF MySaveFood, kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pemuda Gema Malaysia, SWCorp, peniaga bazar dan Remeal telah berjaya menyelamatkan 11,482.89 kilogram lebihan makanan dengan nilai anggaran RM139,576.69.
Kempen Sifar Sisa @ Bazar Ramadan 2025 itu berlangsung di Jalan Raja Alang, Kampung Bharu, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata usaha itu bukan saja membantu golongan memerlukan, malah turut mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 21,532.28 kilogram CO₂, sekali gus memberi impak positif kepada alam sekitar.
“Kempen ini merangkumi dua program utama iaitu MySaveFood dan Program Pengasingan Sisa yang merupakan inisiatif penting dalam memperkasakan usaha pengurangan sisa secara mampan serta memastikan lebihan makanan dimanfaatkan sebaiknya.
“Sementara Program Pengasingan Sisa bertujuan memastikan lebihan makanan yang tidak dapat diselamatkan diurus dengan baik.
“Sebanyak 11,990 kilogram sisa makanan telah dihantar ke pusat kompos, manakala 24,061 kilogram sisa bukan makanan berjaya dikitar semula, sekali gus mengurangkan kesan pencemaran dan memastikan sumber digunakan secara lebih berkesan,” kata Zaliha menerusi hantaran yang dimuat naik ke akaun facebooknya.
Ujarnya lagi, setiap kilogram yang diselamatkan bukan sekadar angka, tetapi satu langkah ke arah masa depan yang lebih lestari.
“Dengan kesedaran dan kerjasama semua pihak, kita mampu memikul tanggungjawab terhadap alam sekitar dan mengelakkan pembaziran,” katanya.-WILAYAHKU