Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Hamidin sahkan mohon menghadap Sultan Selangor

- Diterbit 27 Jun 2024 1:36 PM MYT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sudah menghantar ‘warkah’ untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan kemelut yang melanda bola sepak tempatan ketika ini.

Beliau mengambil maklum mengenai ‘teguran’ Sultan Selangor dan mengesahkan telah menghubungi pihak Istana Selangor semalam.

“Saya maklum dengan dukacita Sultan Selangor. Saya sudah hubungi pihak istana semalam.

“Kemudian, saya susuli dengan menghantar warkah untuk menghadap Sultan Selangor hari ini bagi memberi penjelasan mengenai kemelut yang berlaku,” ujar beliau.

Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dengan sikap Hamidin selaku peneraju FAM kerana tidak serius bersuara mengenai hukuman yang diberikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada Selangor FC awal minggu ini.

MFL dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan Selangor dikenakan empat hukuman selepas menarik diri aksi Piala Sumbangsih termasuk denda RM100,000, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain pemotongan tiga mata dalam Pertandingan Liga Super 2024/2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut dimainkan tanpa penonton.

Namun, Selangor dalam satu kenyataan membalas pihak mereka akan membuat rayuan dengan meneliti segala saluran yang sesuai.

Difahamkan, antara saluran alternatif yang boleh digunakan Selangor adalah mengheret kes ke Mahkamah Sivil dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas