Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Halcare tingkat pemahaman halal

- Diterbit 28 Jun 2024 12:40 PM MYT

BAGI memastikan pemahaman yang menyeluruh dalam ilmu halal, Universiti Malaya (UM) menganjurkan Program Halcare bersama komuniti mualaf baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr Norhidayah Pauzi, Program HalCare yang merupakan singkatan bagi HalalCare: Awareness and Empowerment adalah sebahagian daripada kursus teras Fiqh al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.

“Program ini merupakan inisiatif khidmat komuniti yang bertujuan untuk memperkukuh pemahaman mengenai aspek halal dan haram dalam pemakanan, pendapatan dan hubungan sosial terutamanya dalam kalangan komuniti mualaf.

“Konsep halal tidak terhad kepada makanan dan minuman sahaja, tetapi juga boleh diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan lain termasuk pendapatan dan hubungan sosial,” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC).

Norhidayah berkata program tersebut merupakan anjuran pelajar tahun kedua Sarjana Muda Syariah dengan pengkhususan dalam Fiqh dan Usul dari APIUM.

“Sasaran kita adalah golongan mualaf kerana kebanyakan mereka memiliki pemahaman yang rendah tentang konsep halal dan haram, meskipun telah lama mengikuti pengajian.

“Kelemahan yang dimaksudkan ini boleh dikaitkan dengan dua faktor utama. Pertama, sebahagian besar daripada komuniti mualaf ini kurang lancar berbahasa Melayu, sedangkan kebanyakan kelas dan pengajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ini memberikan cabaran tambahan kepada mereka untuk mengikuti kelas pengajian yang disediakan.

“Kedua, peruntukan masa yang terhad untuk setiap kelas iaitu hanya dua jam setiap minggu, sebenarnya tidak mencukupi untuk mereka benar-benar memahami dan menjiwai kesemua yang diajar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Norhidayah berkata para pelajar UM telah mereka bentuk aktiviti yang bukan sahaja berbentuk ceramah, namun juga berbentuk interaktif bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai aspek halal dan haram dalam kehidupan seharian.

“Seramai 30 orang peserta daripada komuniti mualaf telah menyertai Program HalCare ini, berumur di antara 20 hingga 70 tahun,” ujarnya.

Terdahulu, Program Halcare merupakan sebahagian daripada aktiviti geran penyelidikan FP032-2023 turut mendapat kerjasama dari Masjid Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas