DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan pengurusan Flat Seksyen 2 Wangsa Maju mengambil tindakan kepada pemilik rumah berhubung aduan pemasangan pintu jeriji yang menghalang laluan pejalan kaki.
DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, satu surat arahan telah dikeluarkan selepas pihaknya melalui Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL) melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut baru-baru ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa unit telah melakukan pengubahsuaian yang tidak hanya kepada pemasangan gril tetapi mengubah suai tambahan struktur.
“Pihak COBKL telah mengeluarkan surat kepada pihak pengurusan kediaman tersebut supaya mengambil tindakan kepada pemilik petak agar mengembalikan semula pengubahsuaian itu kepada bentuk asal.
“Perkara ini merupakan bidang kuasa pihak pengurusan selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
“Di bawah Seksyen 59 (1) Akta 757 juga telah menyatakan bahawa kewajipan pihak pengurusan adalah menyelenggara dan mengurus dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama dan menjaganya,” jelasnya.
Sebelum ini tular di media sosial gambar keadaan laluan pejalan kaki dipasang jeriji dengan sekurang-kurangnya satu pintu dipasang di bangunan empat tingkat itu sekali gus telah menghalang laluan dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
Dalam perkembangan lain, sebuah struktur sementara kanopi tertutup dan binaan kekal tandas di Jalan Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa telah dirobohkan oleh DBKL menerusi tindakan Operasi Roboh yang disediakan.
“Operasi bersepadu ini telah diketuai oleh Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin yang ketika itu menjawat jawatan tersebut bersama kekuatan anggota seramai 124 pegawai daripada pelbagai jabatan dalam DBKL dan pasukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Syarikat Air Selangor.
“Struktur sementara itu dibina tanpa kelulusan perintah pembangunan dan telah didakwa di bawah kesalahan Seksyen 26 Akta Perancangan WPKL 1982,” katanya.
Sementara itu, DBKL juga melaksanakan pemeriksaan ke atas 78 buah pelbagai jenis kenderaan menerusi Tindakan Bersepadu Operasi Bersih Siri 1/2024 di Jalan Istana dan Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Ops Bersih merupakan gabungan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi sahabat. Ia melibatkan kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan am trafik, tahap kebersihan kenderaan, pencemaran asap dan permit kebenaran mengangkut bahan (batu, tanah, simen, kaca, jubin) melalui mana-mana jalan awam sekitar Kuala Lumpur.
“Menerusi operasi tersebut, 22 notis kompaun pelbagai kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta Jalan Parti dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pengangkutan Bahan WPKL 1997,” jelasnya PDRM turut mengeluarkan 17 saman manakala enam notis daripada SWCorp. – WILAYAHKU