TAHNIAH dan syabas kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang giat menjalankan operasi serta bertindak terhadap para peniaga yang menghalang kawasan awam di ibu negara seperti laluan pejalan kaki.
Laluan pejalan kaki atau siar kaki membawa maksud jelas ia adalah tempat orang awam lalu-lalang, baik di kaki lima bangunan atau rumah kedai, bahu jalan mahupun di kawasan laluan di stesen pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) atau Aliran Transit Massa (MRT).
Sesuai dengan matlamat laluan tersebut untuk kemudahan pergerakan orang awam, kawasan berkenaan mesti sentiasa dipastikan lapang.
Namun daripada pemerhatian kawan-kawan Kedai Kopi, laluan yang sepatutnya memudahkan orang awam sebaliknya menjadi masalah kepada mereka. Laluan diambil alih dan dijadikan kawasan milik sendiri oleh peniaga atau penjaja yang tidak bertanggungjawab.
Kebanyakan peniaga atau penjaja sesuka hati menceroboh dengan mendirikan gerai, memasang kanopi atau meletakkan kerusi meja. Kerana itu orang ramai mengelak terus melalui laluan yang disediakan untuk mereka.
Sudah tentu ini menyusahkan serta menimbulkan rasa marah. Pemandangan menyakitkan mata ini boleh dilihat di banyak tempat di ibu negara di mana para peniaga memonopoli kawasan yang tidak dibenarkan berniaga.
Peraturan DBKL jelas melarang peniaga dan penjaja berurus niaga di tempat tidak dibenarkan apatah lagi memonopoli kawasan siar kaki dan laluan awam.
Peringatan sering diberi oleh DBKL untuk mematuhi peraturan atau lesen ditarik balik. Namun segelintir peniaga tetap degil berniaga sesuka hati.
Perlu diingat kawasan laluan ini juga direka bentuk dengan tanda tertentu untuk memudahkan pergerakan orang kurang upaya (OKU), terutama cacat penglihatan. Oleh itu, bertimbang rasalah. Diharap DBKL akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang degil.