Berita

Hafaz Al-Quran rahsia peroleh keputusan 12A

UMAR (tengah) meraikan kejayaannya bersama ahli keluarga.
- Diterbit 19 Julai 2024 12:00 PM MYT

JELAS terpancar kegembiraan di wajah pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Parlimen Bandar Tun Razak apabila diraikan dalam Majlis Apresiasi SPM 2023 Bandar Tun Razak.

Berkongsi keterujaan, pelajar cemerlang, Umar Al Faruq Rizaidi, 18, berkata dia amat berterima kasih kepada pihak yang sudi menyampaikan sumbangan kepada dirinya dan juga rakan-rakan seperjuangan lain.

“Alhamdulillah untuk SPM 2023 saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 12A (8A+ dan 4A). Jujur menitik air mata kegembiraan ketika itu tambahan pula ibu bapa turut bersama-sama mengambil keputusan tempoh hari.

“Saya berusaha keras dan alhamdulillah Allah adalah sebaik-baik perancang. Saya rasa ini juga salah satu kelebihan menghafaz Al-Quran membuatkan saya mudah memahami serta mengingati subjek yang dipelajari,” kata anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMISTA) berkata memandangkan mereka mempunyai sesi mempelajari Al-Quran, para pelajar perlu bijak untuk membahagikan masa di antara menghafaz Al-Quran dan akademik.

AZIZAH (tiga kiri) menyampaikan sumbangan serta trofi kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM 2023.

Berkongsi perancangannya, Umar berkata sejak kecil dia menyimpan cita-cita untuk bergelar doktor pakar.

“Ketika ini saya telah mendapat tawaran kemasukan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi pengajian asasi dan saya akan mula bekerja keras daripada situ untuk mengejar impian saya,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar SMISTA, Balqis Insyirah Afyan, 18, berkata dia tidak menyangka berjaya memperoleh keputusan cemerlang 12A dan sangat berterima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan serta guru-guru yang banyak membantu dirinya dari pelbagai aspek.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Parlimen Bandar Tun Razak yang memberi sumbangan kepada pelajar di sini dan ia akan menjadi pembakar semangat buat kami,” ujarnya yang ingin menjadi seorang akauntan.

Sementara itu, Faiznur Najma Ahmad Razi, 18, berkata dia menyedari tahap kebolehannya dan tidak pernah menyangka tergolong dalam kalangan lima orang yang berjaya memperoleh keputusan 12A di SMISTA.

“Saya merancang untuk menyambung pengajian dalam Program Asasi Sains Sosial di Universiti Malaya (UM) dan selepas Ijazah Sarjana Muda saya akan sambung program The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk menjadi akauntan,” kongsinya.

Terdahulu, seramai 730 pelajar cemerlang telah diraikan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB). Para pelajar menerima sumbangan wang tunai bermula RM100 sehingga RM250 selain sumbangan sebanyak RM5,000 turut diberikan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 21 buah sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas