Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Habuan SUV buat atlet

CHERY Malaysia memberi sokongan penuh kepada semua atlet Malaysia yang akan bertanding di sukan Olimpik 2024
- Diterbit 28 Jun 2024 4:00 PM MYT

ATLET negara yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 bakal menerima habuan lumayan berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) oleh jenama automotif dari China iaitu Chery.

Perkara itu dimaklumkan pada satu majlis pemeteraian kerjasama di antara Chery Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini sebagai memotivasikan serta menghargai usaha para atlet bertanding.

Menurut Presiden Chery Malaysia, Leo Chen, pihaknya tahu para atlet telah berusaha keras dalam masa yang panjang untuk persediaan ke temasya sukan ini dan berharap habuan tersebut dapat memotivasikan atlet yang bertanding.

“Kami mempunyai harapan tinggi bahawa tahun ini Malaysia akan mendapat pingat emas pertama yang sangat diinginkan selama ini.

“Kepada kontinjen Malaysia, kalian perlu tahu bahawa Chery Malaysia akan sentiasa memberi sorakan pada setiap jejak perjalanan anda,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Leo berkata habuan itu berupa SUV Tiggo 8 Pro bagi atlet yang membawa pulang pingat emas, Omoda E5 untuk pemenang pingat perak sementara Tiggo 7 Pro bagi pemenang gangsa.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub mengharapkan supaya perkhabaran itu sekali gus dapat merangsang atlet memberikan yang terbaik serta membanggakan negara pada temasya yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas