Sukan

Habuan menanti pemenang

HANNAH berharap syarikat tempatan termasuk GLC untuk tampil memberi ganjaran
- Diterbit 8 Mac 2024 9:50 AM MYT

ATLET kebangsaan yang membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini bakal menerima habuan sebuah kereta berjenama luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihak Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah menerima tawaran daripada syarikat kereta tersebut yang berminat untuk memberi ganjaran kepada atlet negara yang berjaya menamatkan podium pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagaimanapun Hannah berkata pihaknya turut berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat jenama Malaysia akan tampil memberi sokongan untuk memberikan ganjaran kepada atlet negara khususnya yang berjaya memenangi emas pertama Malaysia di Paris.

Dalam masa sama, Hannah memaklumkan ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta kepada pemenang emas Sukan Olimpik.

“Bagi pemenang perak pula, mereka akan menerima ganjaran RM300,000 manakala gangsa RM100,000.

“Selain itu, mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat di mana pemenang emas diberikan RM5,000, RM3,000 (perak) dan gangsa RM2,000,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas