Berita

Guna AI tiru suara, video pakar perubatan

- Diterbit 24 Disember 2024 11:09 AM MYT

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima maklumat kewujudan akaun TikTok yang didapati mempromosikan produk perubatan menggunakan suara dan video seorang pakar perubatan terkenal.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, walau bagaimanapun penggunaan suara dan video itu dilakukan tanpa kebenaran pakar perubatan tersebut.

Malah jelas beliau, ia dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai iklan di media sosial.

“Kecanggihan teknologi AI dilihat telah menjadi pencetus kepada kewujudan iklan-iklan yang memaparkan suara, wajar serta video individu-individu ternama (tanpa kebenaran individu tersebut) dengan tujuan untuk mengelirukan pembeli,” katanya pada Selasa.

Ramli berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terhadap promosi produk kesihatan yang mencurigakan serta tidak jelas sumbernya.

“Ini kerana produk kesihatan yang dijual itu dikhuatiri palsu dan boleh mendatang mudarat kepada penggunanya,” tambah beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas