PRODUK gula-gula jenama Apple S dikesan mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.
Demikian hasil pemantauan terkini dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) terhadap status keselamatan produk-produk makanan di pasaran.
Menurut KKM, sibutramine meruppakan sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makanan (appetite suppressant) yang digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan.
“Ubat ini merupakan bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.
“Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat,” jelas KKM dalam kenyataan pada Khamis.
KKM menambah, selain kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening dan senggugut.
Jelasnya, produk tersebut didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.
“Oleh itu produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyiataan,” katanya.
Tambahnya, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
Katanya, orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk tersebut serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan. – WILAYAHKU