OLEH SABRINA SABRE & DIANA AMIR
PENEMUAN gula-gula berbentuk peranti vape dan jarum suntikan seperti didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini amat membimbangkan, khususnya kepada minda anak-anak muda.
Ia sekali gus mampu menyumbang kepada suntikan minda kepada golongan itu untuk ‘menyukai’ atau berjinak-jinak dengan bahan terlarang terutama dadah. Malah ia juga menimbulkan kebimbangan terhadap normalisasi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata trend itu dilihat semakin membimbangkan kerana produk berkenaan menyerupai alat vape dan jarum suntikan sebenar, dengan rekaan warna-warni yang menarik perhatian anak muda.
“Corak dan reka bentuk gula-gula ini boleh mendorong kanak-kanak untuk meniru tabiat merokok apabila meningkat usia. Lebih membimbangkan, ada yang direka seperti jarum suntikan, menyerupai picagari yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.
“Gula-gula ini bukan sekadar manisan biasa tetapi boleh menjadi titik permulaan kepada ketagihan vape dan rokok. Ibu bapa mungkin tidak menyedari risiko ini dan membelinya untuk menenangkan anak-anak mereka.
“Fenomena ini bukan sahaja membahayakan kesihatan, malah boleh membentuk tabiat mengendalikan peranti menyerupai rokok elektronik sejak usia seawal tujuh tahun,” katanya.
Beliau berkata CAP bimbang jika tanpa kawalan produk gula-gula yang memasuki pasaran tempatan sejak enam bulan lalu dan semakin popular dalam kalangan kanak-kanak itu meningkatkan risiko ketagihan terhadap vape serta rokok pada usia muda.
“Tanpa kawalan, lebih banyak produk serupa akan membanjiri pasaran. Jika dibiarkan, kanak-kanak yang membesar dengan gula-gula berbentuk vape ini mungkin akan beralih kepada produk sebenar seperti e-rokok dan rokok konvensional,” katanya.
Subbarow berkata ramai kanak-kanak yang berusia lingkungan sembilan hingga 12 tahun didapati mencuba vape dan e-rokok milik bapa atau abang mereka di rumah atau di dalam kereta.
“Seramai 200 daripada 300 kanak-kanak mengakui menghisap vape sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Mereka didapati mencuba vape dan e-rokok kepunyaan bapa atau abang di rumah dan juga di dalam kereta.
“Mereka ini bukan perokok tegar sebaliknya mengaku bahawa ia hanya cuba-cuba sahaja. Lebih mengecewakan, kanak-kanak ini mendedahkan bahawa ada saudara atau adik-beradik lelaki mereka yang mencadangkan supaya mencuba vape.
“Walaupun pada permulaannya mereka menolak, mereka seolah-olah diminta untuk mencuba dan akhirnya tewas,” katanya.
Dalam pada itu‚ beliau berkata soal selidik yang dilakukan oleh CAP mendapati bapa dan abang kepada kanak-kanak berkenaan kerap menggunakan produk terbabit di rumah atau semasa memandu.
“Kanak-kanak dan pelajar yang ditemui mengakui mereka tahu bahaya vape tetapi masih ingin mencubanya. Ini kerana, bapa atau abang dengan santai memberi gajet vape kepada mereka yang duduk di tempat duduk penumpang serta di rumah.
“Apabila menawarkan vape, mereka selalu mengatakan ia hanyalah jus buah dan tidak perlu risau sedangkan kandungan sebenarnya adalah nikotin. Mereka berani mencuba di rumah ketika ketiadaan ibu bapa kerana percaya bahawa ia diperbuat daripada buah-buahan atau gula-gula,” katanya.
TINDAKAN TEGAS PERLU DILAKSANAKAN SEGERA
BELIAU berkata kanak-kanak yang telah mencuba kini mula ketagih untuk menghisap vape.
“Sebelum ini, kanak-kanak ini tidak pernah menyentuh rokok tetapi kini mula menghisap vape. Hasil soal selidik yang dibuat, daripada empat kanak-kanak, seorang daripadanya adalah perempuan dan telah ketagih. Perkara ini amat membimbangkan sekiranya tidak dibendung dari sekarang,” katanya.
Oleh itu beliau menggesa pentadbiran sekolah membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP untuk bertemu dengan pelajar bagi memberi kesedaran mengenai bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.
“Perkara ini perlu diberi perhatian, kita bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan mengalami ketagihan vape,” katanya.
Menurut Subbarow menerusi laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran mengandungi bahan kimia yang menjejaskan kesihatan.
“Nikotin bertindak secara langsung pada otak dan mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan bahawa penggunaan e-rokok adalah tidak selamat untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa muda.
“Pakar pediatrik menyatakan nikotin mungkin lebih berbahaya kepada remaja berbanding orang dewasa. Nikotin boleh membahayakan otak yang sedang berkembang. Bukan sahaja remaja lebih terdedah kepada ketagihan malah vape boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian, belajar dan bersenam,” katanya.
Tegas beliau WHO tidak mengesyorkan vape dan menekankan bahawa vape adalah pintu masuk bagi remaja dan dewasa untuk mula menggunakan bahan ketagihan lain.
“Sehubungan itu, pihak keluarga terutama ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan penting dalam menangani perkara ini sekali gus harus bijak mengawal anak-anak agar tidak terjerumus dalam najis dadah.
“Dalam masa sama, kami juga ingin menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengharamkan penjualan produk ini demi kesihatan generasi akan datang,” katanya. – WILAYAHKU