Berita

Gubal pendidikan literasi digital

RAHMAT Fitri. Foto: Syuqqree/Wilayahku
- Diterbit 22 Januari 2025 11:44 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan dan Kementerian Komunikasi disaran duduk berbincang bagi menggubal subjek pendidikan sekolah rendah untuk menerapkan pendidikan literasi digital dalam kalangan murid sekolah sekali gus sebagai agenda negara.

Penganalisis Jenayah Siber yang juga bekas pegawai kanan polis, Asisten Suprintenden (B) Rahmat Fitri Abdullah berkata, pendidikan dan literasi digital ini perlu diterapkan kepada golongan berkenaan supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber dan penipuan sekali gus melindungi mereka.

“Dunia siber ini sangat luas dan ia terbuka serta digunakan semua pihak malah turut digunakan oleh agensi kerajaan sebagai saluran komunikasi.

“Oleh itu, dengan situasi sekarang ini di mana golongan kanak-kanak didedahkan dengan Internet seawal usia, ia berisiko menjadi mangsa jenayah siber kepada golongan berkenaan,” katanya kepada Wilayahku.

Rahmat menegaskan bahawa golongan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab untuk membendung dan mengawal penggunaan gajet supaya golongan tersebut dilindungi daripada aktiviti tidak bermoral.

“Segala-galanya bermula dari rumah. Ibu dan bapa amat penting menerapkan pendidikan berkenaan dengan gajet dan digital kepada kanak-kanak.

“Perkara ini penting kerana Internet ini tanpa sempadan dan sebarang portal atau laman web yang tidak sesuai turut ada dan boleh dilayari bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, sikap ibu dan bapa yang membuka akaun media sosial anak mereka seawal usia bayi tidak wajar dilakukan berikutan ia mendedahkan anak tersebut dengan banyak risiko.

“Ini seolah-olah menjadi trend walaupun akaun itu dikawal ibu dan bapa, tetapi ia tetap tidak wajar dilakukan,” katanya.

Rahmat berkata, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dihentikan dan mereka hanya boleh menggunakannya pada umur 17 tahun.

“Apabila mereka mula mempunyai akaun media sosial pada zaman kanak-kanak, ada banyak perkara negatif yang akan terdedah kepada mereka,” katanya.

Rahmat juga mencadangkan supaya agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar lebih proaktif dalam menyebar luas kempen dan literasi digital.

“Walaupun MCMC dilihat bekerja, tetapi mereka perlu lebih proaktif dengan menerbitkan lebih banyak iklan penerangan yang komprehensif dan interaktif supaya semua golongan dapat dilindungi daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas