Berita

Gotong-royong zahir semangat Jiwa Merdeka

- Diterbit 2 September 2024 10:26 AM MYT

PROGRAM Gotong-Royong Bulanan Seri Selangor 2024 yang diadakan semalam telah menzahirkan semangat Jiwa Merdeka, kata Pengerusi Komuniti Madani Sub Zon 6 Parlimen Cheras, Zaimi Shamsuri.

Beliau berkata Program Komuniti Madani Sub Zon 6 Parlimen Cheras telah diadakan semalam bermula 8 pagi di Pusat Komuniti Seri Selangor.

Menurutnya, program tersebut memfokuskan aktiviti mengecat semula contengan pada dinding dan mengumpulkan semua motosikal buruk tersadai ke satu tempat yang sesuai.

“Ini bagi memudahkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Zaimi berkata program tersebut dimulakan dengan pengesahan kehadiran peserta, sarapan pagi dan senaman regangan yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Selangor, Ahmad Saiful Abd Hamid.

Beliau berkata seramai 70 warga Seri Selangor yang terdiri daripada Ahli Persatuan Penduduk Sri Selangor, Jiran Wanita, Jiran Muda, Tunai Jiran Rukun Tetangga Seri Selangor, pasukan Futsal Seri Selangor, pasukan Bola Jaring Seri Selangor dan Komuniti Madani Sub Zon 6.

“Program ini yang merupakan inisiatif Forum Komuniti (FORKOM) Seri Selangor dengan sokongan Kita Untuk Kita (K2K), Think City dan Kementerian Kewangan akan berlangsung sebanyak tiga sesi.

“Sesi pertama pada semalam, sesi kedua 6 Oktober dan sesi ketiga atau sesi penutup pada 3 November ini,” katanya.

Zaimi berkata program tersebut berakhir pada pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata hasil daripada program itu sebanyak 12 buah motosikal buruk tersadai di Blok 09 dan 20 buah lagi di Blok 11 telah berjaya dikumpulkan di lokasi yang bersesuaian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas