KIRA-KIRA 130 anggota bomba di sekitar Putrajaya mengambil bahagian dalam pelaksanaan gotong-royong yang diadakan baru-baru ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya memaklumkan pihaknya komited dalam melaksanakan aktiviti kawalan dan pencenggahan denggi di premis kerajaan.
“Bagi mendukung usaha tersebut, satu siri gotong-royong kawalan dan pencegahan dilaksanakan di kawasan premis bagi memastikan persekitaran yang bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.
“Seramai 130 anggota dari ibu pejabat JBPM Putrajaya, Balai Bomba Presint 7 dan 14 telah mengambil bahagian bermula pada pukul 9 pagi sehingga selesai.
“Aktiviti ini juga mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Putrajaya dari segi tindakan fogging serta pembekalan ubat jentik-jentik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, aktiviti tersebut diadakan secara berkala dan merupakan salah satu aktiviti tahunan sekaligus mencerminkan usaha mereka dalam menangani denggi selari saranan pihak kerajaan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan sebanyak 1,342 kes demam denggi dan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME49).
“Terdapat 32 lokaliti aktif hot spot yang dilaporkan pada ME49 iaitu 18 lokaliti di Selangor, empat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing tiga di Negeri Sembilan dan Sabah serta masing-masing dua di Pulau Pinang dan Perak,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]