Berita

Global I-Nation 2024 satukan pemimpin global

Foto: MOSTI
- Diterbit 3 Disember 2024 10:40 AM MYT

SIDANG Kemuncak Global I-Nation 2024 yang berlangsung sehingga Rabu ini menonjolkan perkembangan terkini merentasi pelbagai industri serta memupuk kerjasama bermakna untuk memacu kemajuan lestari.

Menyatukan inovator global dan tempatan, pemimpin, pakar dalam pelbagai bidang, serta penggubal dasar, ia memudahkan perbincangan antara pemimpin global mengenai dasar-dasar penting.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata acara bertemakan Advancing Impactful Innovation Together ini bertujuan memperluaskan kerjasama merentasi sempadan dalam teknologi dan inovasi serta mempercepatkan inovasi demi kesejahteraan manusia dan planet.

“Dengan komitmen teguh untuk meningkatkan peranan Malaysia dalam landskap teknologi global, I-Nation Global Summit 2024 memanfaatkan kerjasama global dan tempatan untuk mewujudkan laluan bagi inovator Malaysia berhubung dengan ekosistem antarabangsa.

“Sidang ini akan mempamerkan perkembangan terkini dan perbincangan dalam enam industri utama yang kritikal kepada visi Malaysia untuk kemajuan yang lestari dan inklusif: Teknologi 4IR, Teknologi Autonomi, Ketersambungan 5G, Sains Hayat, Teknologi Kesihatan & AgriTech, serta Kelestarian,” tulis kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof dalam ucapan ketika perasmian berkata acara ini merupakan bukti aspirasi Malaysia untuk meningkatkan pengaruhnya dalam ASEAN dan di peringkat global.

“Ia selaras dengan kerangka antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB dan agenda ASEAN untuk 2025,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas