Berita

GLIC tambah baik tatakelola penilaian pelaburan

- Diterbit 2 Disember 2024 2:49 PM MYT

SYARIKAT pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus melaksanakan penambahbaikan tatakelola dari segi proses penilaian pelaburan serta pemantauan yang berterusan.

Demikian dinyatakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengambil iktibar daripada kerugian dalam pelaburan FashionValet.

Malah menurut beliau, GLIC akan tetap komited untuk terus membuat pelaburan ke dalam syarikat tempatan yang berpotensi tinggi dan menyokong sektor strategik negara agar syarikat tempatan boleh bersaing di peringkat global.

“Merujuk kepada kerugian yang dialami oleh Khazanah dan PNB dalam pelaburan terhadap FashionValet, kedua-dua entiti itu mengiktiraf sifat risiko dan ganjaran dalam pelaburan modal teroka.

“Oleh yang demikian, pelaburan dalam modal teroka diuruskan sebagai satu portfolio, dengan prestasi dinilai berdasarkan keseluruhan portfolio dan bukannya pelaburan tertentu.

“Khazanah dan PNB terus peka terhadap risiko dalam landskap pelaburan pemula yang dinamik dan akan memastikan pengurusan risiko yang efektif, dengan prinsip kebertanggungjawaban dalam proses pelaburan melalui penilaian terperinci dan ketekunan wajar, termasuk pertimbangan rasional pelaburan, penilaian dan pulangan yang wajar,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Judiet Fidilis @ Noraini Idris yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan prinsip kebertanggungjawaban fiskal yang digariskan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (2023).

Ini bagi meningkatkan rasionalisasi pelaburan wang awam yang dilakukan oleh agensi kerajaan dengan mengambil iktibar daripada kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Amir Hamzah berkata, secara umumnya, pelaburan peringkat awal seperti modal teroka (venture capital) adalah bersifat berisiko tinggi tetapi berpotensi untuk memberikan pulangan signifikan.

Katanya, merujuk kepada pelaburan modal teroka, berdasarkan pengalaman Khazanah melabur dalam dana modal teroka berfokuskan kepada sektor pertanian, pelaburan Farm Fresh Berhad telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di mana ia berjaya menjana pulangan 13 kali ganda iaitu nilai melebihi RM800 juta.

Dalam pada itu beliau berkata, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) merupakan langkah penting dalam usaha Malaysia ke arah meningkatkan disiplin fiskal dan memastikan kestabilan makroekonomi.

Katanya, Akta 850 menyediakan panduan dan penerangan yang jelas dalam menggubal dasar fiskal bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Prinsip kebertanggungjawaban fiskal akta ini terpakai kepada seluruh jentera Kerajaan Persekutuan termasuk agensi.

“Akta 850 juga mengandungi komponen utama pengurusan dasar fiskal termasuk pengurusan perbelanjaan awam dan pengurusan risiko fiskal yang lebih cekap. Oleh itu, akta ini antara lain juga menetapkan sasaran jaminan kewangan sebagai peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tidak melebihi 25 peratus bagi mengekang peningkatan liabiliti yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga sedang melaksanakan langkah pembaharuan institusi dan tatakelola bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memastikan pelaburan memberi nilai faedah terbaik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas