Berita

GLC, GLIC perlu terap dasar lebih ketat, tidak sekadar potensi keuntungan semata-mata

- Diterbit 2 November 2024 8:52 PM MYT

SYARIKAT Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang mengurus dana awam perlu menerapkan dasar-dasar yang lebih ketat dalam soal akauntabiliti dan ketelusan, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

Katanya, ini termasuklah proses usaha wajar yang lebih mendalam yang tidak hanya menilai potensi keuntungan tetapi juga mengkaji kredibiliti dan rekod syarikat swasta yang menerima pelaburan tersebut.

“Tindakan seperti pengauditan yang telus, pendedahan berkala tentang prestasi pelaburan, dan mekanisme pengawasan bebas dapat menambah baik ketelusan dan mengurangkan risiko penyalahgunaan dana awam,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Sabtu.

Menurut Jais, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kawal selia lain perlu memperkukuhkan mekanisme pengawasan mereka khususnya dalam pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan.

“SPRM boleh meningkatkan pengawasan dengan menubuhkan unit khas yang memantau pelaburan dana awam yang berisiko tinggi serta mengaudit prestasi pelaburan tersebut secara berkala.

“Ini akan membantu mengenal pasti dan mengambil tindakan awal terhadap pelaburan yang mencurigakan atau melibatkan penyalahgunaan dana,” katanya.
Semalam Dr, usahawan dan pengasas bersama Fashion Valet, Datuk Fadza Anuar dan isteri, Datin Vivy Yusof semalam memuat naik kenyataan memohon maaf dan melepaskan jawatan di dalam syarikat berkenaan berhubung kerugian pelaburan syarikat berkaitan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad (Khazah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM47 juta seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Jais berkata sebagai seorang personaliti awam, sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Vivy Yusof dapat memberi mesej penting kepada masyarakat tentang keperluan akauntabiliti dalam dunia korporat.

“Tindakan beliau mengakui kesilapan dan meletakkan jawatan adalah satu langkah yang wajar, dan ia boleh membantu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem tadbir urus korporat, walaupun pelaburan tersebut gagal.

” Kebertanggungjawaban seperti ini sangat penting dalam membina kepercayaan orang ramai terhadap pengurusan dana awam,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas