Berita

GISBH: Kerajaan tak cadang tubuh RCI – Saifuddin

- Diterbit 17 Oktober 2024 10:54 AM MYT

KERAJAAN tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung jenayah yang dikaitkan dengan GISBH.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, untuk itu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi memandangkan siasatan dan operasi masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kumpulan itu.

Menurut beliau, PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara.

“Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai keperluan menubuhkan RCI berhubung jenayah dikaitkan GISBH.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, berdasarkan siasatan PDRM, tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH.

Walau bagaimanapun katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan PDRM masih diteruskan dari pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas