Berita

GISBH: 34 individu akan ditahan semula di bawah SOSMA

Gambar hiasan
- Diterbit 26 September 2024 10:02 AM MYT

SERAMAI 34 individu termasuk pimpinan tertinggi rangkaian GISBH akan ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ini selepas tempoh reman terhadap mereka telah berakhir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 126 tahanan dibebaskan hari ini selepas selesai tempoh reman manakala 24 ahli lagi termasuk pemimpin tertinggi GISBH dan isterinya dilanjutkan reman selama empat hari lagi.

“Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selama empat hari bermula esok hingga Ahad ini (29 September).

“Berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh, sebanyak 34 tahanan yang selesai menjalani tempoh reman akan ditahan semula mengikut SOSMA,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengesahkan hasil siasatan PDRM mendapati kaedah perniagaan kumpulan itu adalah mengikut pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka sendiri.

Katanya, pegangan kumpulan itu sangat taksub dan mendewakan pemimpin sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, hasil kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan ini selari dengan siasatan PDRM yang dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas