BERINSPIRASIKAN daripada tradisi membuat biskut gingerbread dan rumah, hiasan mewah dengan bertemakan Gingerbread Christmas Village mewarnai Suria KLCC mulai dari 24 November 2023 sehingga 1 Januari 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien, pengunjung dijemput melangkah ke dunia magis Gingerbread Christmas Village di perkarangan Centre Court sambil disajikan pelbagai binaan mempesonakan inspirasi daripada icing dan gula-gula berwarna-warni.
“Sepanjang sambutan perayaan kali ini, para pengunjung berpeluang untuk menyertai Kuiz Gingerbread Man Personality bagi merungkai persona mereka selain menerima pin edisi terhad Gingerbread Man.
“Sambutan di Suria KLCC dijangka akan lebih meriah pada hujung minggu dan juga pada Hari Krismas dengan kemunculan Santa Claus dan Ms Claus,” jelasnya pengunjung juga berpeluang mendekorasi biskut Krismas untuk dibawa pulang di Gingerbread Bakery & Candy.
Tambahnya, di Esplanade KLCC pula pengunjung disajikan dengan kehadiran pokok Krismas ikonik yang tertinggi di Malaysia dilengkapi dengan perhiasan bertemakan Gingerbread.
“Di Suria KLCC, berdiri megah setinggi 100 kaki, pokok Krismas ini melambangkan komitmen kami untuk memupuk keceriaan di seluruh bandar Kuala Lumpur.
“Untuk keriangan berganda, para pengunjung yang berbelanja RM1,500 ke atas melalui dua resit akan menerima sekeping e-baucar Suria KLCC yang bernilai RM100,” ujarnya.
Berkongsi keterujaan, Andrew berkata pengalaman tidak terhenti di situ apabila para pengunjung juga berpeluang untuk menyampaikan mesej bermakna buat yang tersayang melalui pengeposan poskad.
“Poskad Krismas ini akan dilengkapi dengan setem istimewa Suria KLCC yang boleh didapati melalui pembelian Pin Suria KLCC. Sumbangan para pelanggan juga akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu-isu kesihatan mental.
“Selaras dengan sambutan Krismas kali ini, Suria KLCC juga telah menderma sebanyak RM3,000 kepada Yayasan Dignity for Children yang dilihat sebagai salah satu inisiatif murni untuk tanggungjawab sosial dan korporat,” katanya. – WILAYAHKU