ORANG Utan merupakan sejenis mamalia yang biasanya dijumpai di hutan-hutan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia. Ia amat signifikan di Malaysia kerana sering dikaitkan dengan isu penebangan hutan termasuk sektor perladangan kelapa sawit khususnya di Sabah dan pemburuan haram.
Populasi Orang Utan juga sering dijadikan senjata oleh pihak tertentu untuk menjejaskan reputasi minyak sawit Malaysia di pasaran global dengan menggunakan maklumat-maklumat kurang jelas dan ditokok tambah.
Ancaman terbesar populasi orang utan ialah aktiviti pemburuan haram di mana hidupan liar ini dikategorikan sebagai haiwan kritikal terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) dengan populasi yang dianggarkan berjumlah 104,700 ekor.
Berdasarkan Laporan World Wide Fund for Nature (WWF) pada 2019 iaitu tinjauan ke atas sarang Orang Utan dalam tempoh Mei 2014 sehingga Mac 2017 mendapati populasi Orang Utan di Sabah adalah stabil selama 15 tahun.
Walau bagaimanapun, hasil kajian yang sama turut mendapati populasi Orang Utan Borneo di hutan-hutan yang dikelilingi ladang kelapa sawit menunjukkan trend penurunan.
Sehubungan itu, pihak industri sawit Malaysia menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menjalankan aktiviti-aktiviti pemuliharaan bagi memulihara dan melindungi Orang Utan Borneo ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata antara usaha yang dijalankan adalah Program Penanaman Sejuta Pokok untuk rehabilitasi habitat semula jadi Orang Utan seluas 2,500 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, Lahad Datu, Sabah.
“Selain itu, MPOGCF turut membiayai operasi Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) di Sabah untuk menyelamat dan memindahkan Orang Utan ke tempat yang lebih selamat. Dalam tempoh 2010 sehingga 2020, WRU telah berjaya menyelamatkan sebanyak 61 Orang Utan.
“Di samping itu, peruntukan dana sebanyak RM1.2 juta turut diberikan bagi pelaksanaan Projek Survei Populasi Orang Utan di Sabah untuk mengetahui fakta dan data lebih lanjut mengenai populasi orang utan di lokasi berkenaan.
“Kajian itu kita akan laksanakan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam sebulan dua, kita nak ketahui fakta dan data yang berkaitan sebab banyak kajian yang telah dilaksana, cuma di peringkat MPOGCF kita nak ketahui lebih lanjut populasinya berapa dan apa isu berkaitan haiwan tersebut,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian World Orang Utan Day – The Other Malaysians di Zoo Negara pada Sabtu.
Menurut beliau, usaha ini adalah bukti jelas komitmen industri sawit negara menambah populasi Orang Utan dengan sokongan dan dorongan oleh kerajaan melalui KPK dan MPOGCF di samping turut menyeru seluruh rakyat Malaysia menyokong usaha-usaha pemuliharaan Orang Utan ini dengan mengutamakan produk-produk sawit mampan yang mendapat pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).
Dalam pada itu, beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak khususnya MPOGCF, Zoo Negara serta lain-lain atas sokongan dan kerjasama menjayakan Sambutan Hari Orangutan Sedunia pada 19 Ogos lalu bertempat di Zoo Negara. – WILAYAHKU