DALAM usaha melahirkan lebih ramai belia tempatan yang berjaya dalam bidang minyak dan gas serta automotif, Giat MARA Labuan menawarkan kursus Perancah Tahap Satu (scaffholding) dan kursus Automotif (Kenderaan Elektrik) yang memberi manfaat kepada 73 belia tempatan.
Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Raffi Alli Hassan, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukan geran latihan berjumlah RM425,000 bagi membantu melahirkan golongan belia tempatan yang bertenaga mahir.
Katanya, peruntukan sebanyak RM300,000 adalah geran latihan kursus Perancah Tahap Satu (scaffholding) melibatkan 48 peserta.
“Manakala sebanyak RM125,000 di peruntukan untuk geran latihan penyelenggeraan kenderaan elektrik melibatkan seramai 25 peserta,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya peruntukan khas yang diluluskan KKDW diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita mengharapkan golongan belia di Labuan tidak melepaskan peluang mengikuti kursus kemahiran berkenaan.
“Selain itu Giat MARA akan memastikan belia yang berjaya menamatkan kursus tersebut mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat industri minyak dan gas,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pihaknya akan menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Labuan Shipyard Engineering (LSE) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak.
“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa cadangan kerjasama itu telah dibincangkan dan akan diluluskan diperingkat atas pada masa terdekat.
“Kita menjangka kerjasama dan majlis menandatangani MoU itu akan diadakan pada bulan November ini.
“Dengan kerjasama itu kelak akan memberikan manfaat kepada belia di pulau ini untuk menceburi bidang yang ditawarkan sekali gus mampu membela nasib mereka,” katanya. – WILAYAHKU