TANJUNG Kubong yang terletak di Kampung Lubuk Temiang, Labuan merupakan antara lokasi indah yang menjadi tumpuan pelancong jika berkunjung ke pulau tersebut.
Mengikut sejarah, kawasan yang berada kira-kira 12 kilometer (km) dari bandar Labuan itu merupakan lokasi aktiviti perlombongan arang batu suatu ketika dahulu.
Ia bukan sahaja kaya dengan peninggalan artifak yang menceritakan tentang aktiviti perlombongan yang pernah terdapat di situ bahkan kaya dengan khazanah alam iaitu Geotapak Pantai Tanjung Kubong yang terdiri daripada Formasi Belait berusia 15 juta tahun.
Turut dikenali sebagai Gerbang Laut, ahli geologi menerusi kajian menyatakan ia terhasil daripada mendapan pada Zaman Miosen Akhir hingga Pliosen.
Keindahan struktur pada batuan yang terhasil kesan hakisan pada Gerbang Laut menjadi lokasi buruan pendaki, pencinta alam serta tidak ketinggalan jurugambar untuk mengabadikan kenangan di lokasi berkenaan.
Sebelum tiba di lokasi Gerbang Laut, pengunjung perlu berjalan kaki kira-kira dua kilometer dari Muzium Chimney sambil berpeluang menikmati pemandangan alam semula jadi bertemankan kicauan burung serta pasir pantai yang memutih.
Menurut Ketua Muzium Chimney Labuan, Nurlina Hamza, batuan-batuan yang terbentuk di Geotapak itu ditafsirkan sebagai enapan sungai berburai yang terhasil pada 15 juta tahun dahulu dan merupakan jujukan bawah Formasi Belait.
“Gerbang Laut terhasil akibat hakisan air laut yang pada awalnya membentuk gua laut yang menghakis di kawasan satah yang lemah dengan membentuk ruang pelbagai dimensi yang bergantung dengan intensiti hakisan.
“Singkapan batuan di sini sangat segar dan sempurna serta mempamerkan lapisan-lapisan batu pasir tebal yang berkedudukan hampir mendatar.
“Hakisan yang berterusan ke atas permukaan berkenaan akan menghasilkan bukaan di kedua-dua bahagian batuan atau sehingga ke hujung gua. Ia dikategorikan dalam evolusi landskap yang berkaitan dengan bentuk atau rupa bumi unik di sekitar pantai di Labuan,” ujarnya.
LABUAN MILIKI 16 GEOTAPAK
Selain Gerbang Laut yang terdapat di Tanjung Kubong, Labuan turut mempunyai 16 Geotapak yang dikategorikan dalam evolusi landskap yang berkaitan dengan bentuk atau rupa bumi unik di sekitar pantai pulau tersebut.
Antaranya adalah Lidah Pasir iaitu sekitar 700 hingga 800 meter di Pulau Kuraman, Pentas Hakisan dan Tafoni di sekitar Pantai Kubong dan Layang-Layangan.
“Ini adalah antara tapak Geotapak daripada 16 secara keseluruhannya. Namun Gerbang Laut di Tanjung Kubong antara lokasi utama para pengunjung dalam dan luar untuk menyaksikan sendiri keunikan yang ada pada struktur batuan hakisan yang begitu menarik.
“Apa yang menariknya kesemua tapak ini mudah dikunjungi dan diakses tanpa memerlukan kos yang tinggi atau peralatan yang canggih untuk sampai ke destinasi.
“Pengunjung juga akan berasa tertarik memandangkan sepanjang perjalanan untuk tiba ke destinasi tersebut mereka dapat menikmati khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak berwajib memainkan peranan dalam usaha mengangkat Geopark Labuan ini sebagai lokasi pelancongan agar ia tidak dipandang sepi selain memperkenalkan kepada dunia kelebihan khazanah alam tersebut.
“Geotapak yang terdapat di pulau ini merupakan satu lagi penemuan keunikan yang bernilai saintifik untuk masa depan sektor pelancongan di Labuan yang mana secara tidak langsung boleh menjana ekonomi dalam jangka masa yang panjang,” ujarnya. – WILAYAHKU