Berita

Generasi masa kini perlu elak sikap individualistik

AZIZAH (tengah) bersama dif jemputan dan para penerima Bantuan Awal Pengajian one-off di IYC pada Selasa.
- Diterbit 3 November 2023 12:05 AM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM

AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap generasi masa kini khususnya dalam kalangan pelajar tidak hanya cemerlang dalam akademik semata-mata sebaliknya mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketerampilan dan tidak bersikap individualistik.

Beliau berkata kerjaya masa kini memerlukan pekerja yang inovatif dan berfikiran kreatif serta kritis dalam mencari penyelesaian yang terbaik serta mempunyai daya tahan (resilience) dan mampu berdikari.

“Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelektual, selain mampu memainkan peranan penting dalam masyarakat.

“Oleh itu, para pelajar perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan pendidikan tinggi tetapi juga kemahiran semasa dan bijak dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara baharu,” kata beliau ketika hadir menyerahkan sumbangan Bantuan Awal Pengajian one-off kepada 110 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta sekitar Bandar Tun Razak di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Jalan Yaacob Latiff pada Selasa.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Exco Pendidikan Parlimen Bandar Tun Razak, Saifulizan Haron.

Menerusi program itu, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak menyerahkan sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang terpilih dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM55,000.

Azizah berkata inisiatif itu bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai peluang menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada YBR di atas kerjasama strategik ini dan tahniah kepada semua penerima yang terpilih untuk bantuan awal pengajian ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar Universiti Malaya kampus Cyberjaya, Wafiy Aqasha Mohamed Zaini, 18, berkata bantuan yang diterima itu meringankan beban keluarganya dalam menyediakan keperluan pengajian.

“Alhamdulillah, bagi keluarga yang kurang berkemampuan seperti saya, ia sangat membantu meringankan beban ibu dan ayah untuk menanggung kos perbelanjaan di universiti,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas