PENGUMUMAN persetujuan telah dicapai antara Hamas dan negara haram Israel ke arah gencatan senjata dengan fasa awalnya akan berkuatkuasa pada 19 Januari ini tentunya berita baik terutamanya buat rakyat dan bumi Palestin, kata Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh.
Ahli Parlimen Ledang itu berkata ini lebih lagi mereka telah kehilangan ahli keluarga, kebuluran, kemusnahan harta benda dan tempat tinggal.
“Mereka bersyukur dan berharap perang akan dihentikan.
“Ini juga jelas disambut baik oleh masyarakat dan pemimpin dunia. Masing-masing sepakat bahawa persetujuan berkenaan memberi harapan kepada rantau yang bergolak dan sebagai batu loncatan ke arah keamanan dan kestabilan yang berkekalan,” katanya.
Tambahnya, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Gutteres berkata keutamaan mestilah untuk meringankan penderitaan teruk yang dialami rakyat Palestin dengan mempermudah bantuan segera kemanusiaan, tidak terhalang dan selamat.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk menunaikan komitmen mereka dan memastikan perjanjian dapat dilaksanakan.
Menurutnya, Anggota Biro Politik Hamas, Khalil Al-Hayya, pejuang Hamas tidak akan melupakan jasa dan sikap terhormat Malaysia bersama negara-negara lain yang menyokong Palestin ketika diasak konflik bersenjata dan perang genosid.
“Gencatan senjata ini telah lama tertunggak. Malah rakyat Palestin telah ditindas berpuluh tahun lamanya.
“Peperangan telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin dan mengakibatkan jutaan kehilangan tempat tinggal akibat kerakusan genosid dan kegilaan rejim zionis Israel untuk kononnya mempertahankan diri
“Ia disifatkan oleh pelbagai pihak, termasuk PBB, ICJ dan ICC sebagai bencana kemanusiaan terburuk, malahan pelanggaran terang-terangan oleh rejim zionis Israel ke atas pelbagai resolusi, kesepakatan dan tuntutan. Mereka wajib didakwa dan hak rakyat Palestin wajib ditegakkan,” katanya.
Syed Ibrahim berkata, meskipun rundingan fasa awal ini dipersetujui dan ramai yang sambut baik, namun pelaksanaannya pasti mencabar.
Katanya, ini merangkumi fasa awal gencatan senjata selama enam minggu atau 42 hari, berkuatkuasa pada 19 Januari ini termasuk pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari Semenanjung Gaza, pembebasan tebusan Israel oleh Hamas sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan oleh rejim zionis Israel dan bantuan kemanusiaan berskala besar.
“Manakala butiran fasa kedua dan fasa ketiga akan dimuktamadkan selepas pelaksanaan fasa pertama.
“Pada peringkat awal ini, PBB wajar mengambil langkah yang lebih agresif untuk memastikan tindakan mereka dilaksanakan sepenuhnya, terutama dalam membuka saluran bantuan kemanusiaan berasaskan keputusan ICJ dan Majlis Keselamatan PBB,” katanya.
Beliau memohon kerajaan Malaysia memainkan peranan aktif dalam hal ini dengan mendesak dan bekerjasama dengan PBB.
Beliau berkata ini selari dengan sambutan baik Malaysia kepada Jepun tempoh hari untuk pembangunan Gaza dan Palestin dan dengan harapan bahawa rundingan dan perjanjian ini berjalan lancar.
“Maka saya juga mohon kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas ke arah pembangunan semula Palestin dan Gaza dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, pakar-pakar sektor penting seperti pembinaan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
“Di samping itu, tindakan kejam rejim zionis Israel wajib dipertanggungjawabkan. Selain ICJ dan ICC, saya menggesa Kerajaan Malaysia menyegerakan inisiatif untuk menyingkirkan negara pengganas Israel daripada PBB,” katanya. – WILAYAHKU