Berita

Gencatan senjata Hamas-Israel: Langkah pertama tamatkan konflik Asia Barat

Foto: Ramadan Abed/Reuters
- Diterbit 16 Januari 2025 2:38 PM MYT

MALAYSIA menyifatkan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui antara Hamas dan Israel sebagai perkembangan yang amat dialu-alukan.

Perjanjian itu termasuk pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya.

Menurut Wisma Putra, ia merupakan langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.

“Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin di Gaza, terutamanya ketika musim sejuk yang sangat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra menambah, Malaysia memuji langkah dilakukan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian tersebut.

Katanya, usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak terlibat.

“Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin. Malaysia melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia,” jelasnya.

Katanya, Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmauqaddis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Asia Barat.

Awal pagi tadi, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Mohammed Abdulrahman mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.

Mohammed berkata, fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.

Walau bagaimanapun butiran fasa kedua dan fasa ketiga akan dimuktamadkan selepas pelaksanaan fasa pertama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas