PERJANJIAN gencatan senjata di Gaza diharap dalam dilaksanakan secara komprehensif sekali gus mencapai matlamat penyelesaian dua negara.
Demikian gesaan dibuat Menteri-Menteri Luar ASEAN menerusi kenyataan sempena Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di Langkawi, Kedah.
Menurut kenyataan itu, menteri terlibat menyatakan kebimbangan terhadap keganasan yang berterusan serta situasi kemanusiaan yang semakin parah di Gaza susulan serangan rejim zionis sejak 7 Oktober 2023.
“Sememangnya kami mengutus sekeras-kerasnya semua serangan terhadap orang awam dan infrastuktur di Gaza yang mengakibatkan jumlah korban yang sangat besar, terutama wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.
“Ia juga mengakibatkan sekatan terhadap akses kepada bekalan makanan, air bersih dan keperluan asas lain yang memburukkan situasi kemanusiaan di Gaza.
“Kami mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Gaza dan mendesak agar pelaksanaannya dilakukan secara menyeluruh,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Menteri-Menteri Luar ASEAN turut menyeru agar semua tebusan, terutama warganegara ASEAN, wanita, kanak-kanak, orang sakit dan warga emas dibebaskan tanpa syarat dan segera.
Malah mereka menggesa semua pihak yang terlibat supaya berusaha ke arah penyelesaian damai dengan tujuan merealisasikan penyelesaian dua negara menurut undang-undang antarabangsa.
“Ia termasuk resolusi-resolusi berkaitan dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
“Kami menekankan pentingnya meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan selain pembinaan semula pasca-konflik di Gaza,” katanya. – WILAYAHKU