Berita

Gencatan senjata di Lubnan elak serangan lanjut

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 28 November 2024 8:00 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah di Lubnan yang sedang berkuat kuasa dapat mengelakkan sebarang serangan dan pencerobohan lanjut.

Beliau berkata, penyelesaian secara damai terhadap konflik terbabit amat dialukan walaupun Malaysia masih menunggu butiran lanjut mengenainya.

“Buat masa ini, gencatan senjata nampaknya sesuatu yang positif, tetapi terdapat kebimbangan tertentu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, kita perlu memantau dengan rapi.

“Bagi saya, yang paling penting sudah tentu gencatan senjata, kerana sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan sebarang serangan atau pencerobohan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersama peserta pada Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kebimbangannya bukan sekadar konflik di Lubnan, malah di Gaza serta Tebing Barat.

“Sebarang usaha dan inisiatif untuk mencari penyelesaian secara damai terhadap konflik ini amat dialu-alukan,” katanya.

Semalam, gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah di Lubnan berkuat kuasa pada Rabu selepas lebih setahun pertempuran yang mengorbankan ribuan nyawa.

Gencatan senjata bermula 4 pagi itu menghentikan perang yang memaksa puluhan ribu orang di Israel dan ratusan ribu rakyat di Lubnan meninggalkan rumah mereka.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan perjanjian gencatan senjata pada Selasa, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata menterinya bersetuju dengan perjanjian itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas