MALAYSIA menghantar hospital medan ke Myanmar bagi menyalurkan bantuan segera susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu baru-baru ini.
Menurut Wisma Putra, ia juga sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan serta menyediakan perkhidmatan perubatan penting kepada komuniti yang terjejas.
“Misi ini, yang diketuai Kementerian Pertahanan dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri, bertujuan memastikan mobilisasi pantas dan penyampaian bantuan kesihatan berkesan ke kawasan yang mengalami kekurangan perkhidmatan perubatan kritikal,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Wisma Putra menambah, hospital medan tersebut telah dihantar ke Myanmar menaiki dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 4.30 pagi tadi.

Katanya, ia dilengkapi unit rawatan kecemasan dan kemudahan pembedahan serta disokong oleh pasukan perubatan terlatih seramai 70 orang yang merangkumi doktor, jururawat dan kakitangan sokongan.
Hospital medan ini jelasnya, akan ditempatkan di bandar Sagaing dan akan beroperasi selama 30 hari dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, adil dan berkesan, khususnya kepada kumpulan yang dipindahkan dan golongan rentan.
“Inisiatif ini menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap nilai-nilai kemanusiaan dan kesejahteraan jiran-jirannya yang sedang dilanda kesusahan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berbangga untuk berdiri bersama rakyat Myanmar dalam saat yang mencabar ini, dengan menyalurkan bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa di kawasan yang paling memerlukannya,” katanya.
Tambah Wisma Putra, usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi bantuan kemanusiaan Malaysia yang lebih luas serta mencerminkan komitmen bersama ASEAN terhadap keamanan, kestabilan dan kebajikan semua negara anggota. – WILAYAHKU