BERMULA Sabtu ini, pusat pentadbiran negara, Putrajaya bakal dilimpahi lampu cahaya berwarna-warni sempena Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024.
Lebih istimewa, penganjuran kali ini diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2024 dan ulang tahun ke-29 Perbadanan Putrajaya (PPj) yang ditubuhkan pada 1 Mac 1996.

Penganjuran festival yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama sembilan hari bermula 24 Februari (esok) sehingga 3 Mac ini bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya dari pukul 5 petang hingga 11 malam.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024, ikuti sesi wawancara eksklusif wartawan Wilayahku, SABRINA SABRE bersama Presiden PPj, DATUK TPr FADLUN MAK UJUD.
Apakah tarikan utama dan keunikan penganjuran festival pada tahun ini?
Antara kelainan pada Lentera 2024 adalah penganjurannya di lokasi yang berbeza selain melibatkan teknik pencahayaan di darat, sisiran tasik dan atas air.
Selain pertunjukan pencahayaan, Lentera yang berkonsepkan ‘Tradisi & Cahaya’ itu akan turut dimeriahkan dengan elemen pertunjukan kebudayaan tradisional Melayu, Cina dan India serta Borneo. Pertunjukan tersebut akan dibawakan oleh pasukan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta komuniti Putrajaya.
Lentera merupakan festival pencahayaan edisi khas yang dianjurkan di sisiran tasik dengan pengisian utama iaitu ‘Light Symphony’ dan ‘Musical Fountain’. Antara keunikan dan identiti festival ini adalah pertunjukan pencahayaan ‘Grand Light Symphony’ dan ‘Musical Fountain’ di Tasik Putrajaya serta Jambatan Monorel sebagai elemen utama dan mega.
Dalam masa sama, terdapat juga dekorasi pencahayaan di atas air dan pertunjukan bot-bot berhias bercahaya yang akan menambahkan lagi impak keindahan pencahayaan di perkarangan pesisiran tasik Putrajaya.
Lokasi Anjung Floria akan bergemerlapan dengan keindahan taman-taman dekorasi pencahayaan di Lil’ Lumin’s Land, Laman Cahaya PJH, Laman Komuniti Putrajaya, Laman Melayu, Laman China, Little India, Laman Retro, English Garden, Laman Dulu-Dulu, Jurassic Reverie, Enchanted Arbor, Tetris Harmony, Atma Kirana, Lumina Matrix, Algorithmic Aurora, Fantasy Garden, Panda Garden, Tree of Life, Lollipop Garden, Heart Shape Tunnel, Blue Tunnel, Avatar Trees, Aurora River, Misty Forest, Firefly Garden, Paddy Field dan 5 Rakan-Rakan LAMPU.
Berapa banyak pengisian aktiviti bagi festival ini?
Selain daripada pertunjukan pencahayaan di tasik dan dekorasi pencahayaan di seluruh perkarangan Anjung Floria, terdapat juga acara-acara sampingan lain seperti Pertandingan Kreativiti 3R, Petting Zoo, Kampung Beca, persembahan kebudayaan, persembahan band buskers, Coslay/Badut Belon, Wayang Kulit, Wayang Pacak (Jabatan Penerangan), Pertunjukan Remote Control Aircraft Bercahaya, Paraglider Bercahaya, Zumba Glow in the Dark, Water Taxi, Beca/Scooter, bot pedal, kayak, sewaan pakaian tradisional, photo booth, face painting dan henna painting.
Dalam pada itu, kami juga menyediakan 60 buah gerai makanan dan minuman (Food Valley), 30 food truck, 10 gerai Coffee Fiesta, Pulse Grande Cafe, Cyclist Cafe serta Lake Cabin Cafe untuk santapan pengunjung yang hadir.
Penganjuran Festival Lentera pada kali ini dilaksanakan oleh pihak PPj sahaja atau ada bekerjasama dengan mana-mana rakan strategik?
Lentera 2024 dianjurkan secara bersama dengan Pulse Group dan rakan-rakan strategik iaitu Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan We Grow (KRU Studios).
Sasaran pengunjung yang dijangka hadir ke festival ini?
Dengan lebih 40 pengisian unik, menarik dan istimewa, festival kali ini menyasarkan sebanyak 1.5 juta pengunjung dan pelancong ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi pelancongan acara.
Bagi pengunjung yang hadir, kita akan menyediakan tempat parkir kereta (open parking) dan shuttle bus percuma dari Putrajaya Sentral ke Lentera.
Selain itu, terdapat juga kemudahan seperti tandas, surau, tiga pintu masuk utama, online-ticketing, tiga kaunter tiket (digital), papan-papan informasi LED, khemah Lost & Found, khemah teduhan (rain stops) selain sukarelawan seramai 50 orang.
Berapakah bayaran masuk ke festival ini?
Untuk warganegara, tiket dewasa adalah sebanyak RM10 manakala RM5 buat warga emas dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.
Untuk bukan warganegara, tiket dewasa adalah RM30 manakala kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun bernilai RM15. Buat pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pula adalah percuma.
Justeru itu, saya berharap agar semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pengisian Lentera 2024 yang mana menampilkan perpaduan kaum serta teknologi terkini dalam teknik pencahayaan sama ada di darat mahupun di air.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial kami Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my.
Jangan lupa untuk hashtag hantaran anda iaitu #POD2024; #perbadananputrajaya; #wilayahuntuksemua dan #malaysiamadani.
– WILAYAHKU