Berita

Geledah, sita premis GISBH di Sabah, Sarawak

Foto: BERNAMA
- Diterbit 27 September 2024 3:22 AM MYT

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu sepenuhnya agensi-agensi terlibat bagi melaksanakan tindakan menggeledah dan menyita premis dikaitkan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain susulan sesi mesyuarat yang diadakan antara PDRM bersama agensi-agensi kerajaan bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis berkenaan di kedua-dua negeri tersebut.

Mesyuarat itu melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hasil mesyuarat tersebut mendapati premis-premis yang berkaitan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi.

“Justeru dicadangkan agar agensi terbabit mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis terlibat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Razarudin memberitahu, di Sarawak pula, tindakan sama akan dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993.

Katanya, walaupun premis-premis itu telah dikesan tidak beroperasi, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu terlibat dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.

Dalam perkembangan lain katanya, satu tangkapan telah dituduh melibatkan tiga kertas siasatan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 31(1(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pertuduhan ini meliputi kertas siasatan kes video tular berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak. Pertuduhan dijalankan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor,” katanya.

Pada hari ini juga katanya, PDRM telah memperoleh lanjutan reman seramai tujuh orang tangkapan bersabit Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, kesemua tangkapan telah dibenarkan sambung reman selama lima hari sehingga 1 Oktober ini.

“Berhubung dakwaan bahawa pekerja GISBH tidak dibayar gaji, PDRM telah menerima 10 laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk meneliti pendakwaan yang boleh dilaksanakan.

“PDRM menyeru kepada ahli dan pengikut GISBH untuk tampil membuat laporan ke balai polis berhampiran bagi membantu PDRM menjalankan siasatan secara komprehensif terhadap organisasi ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas