Berita

Gelandangan rasa teruja terima suntikan vaksin COVID-19 lebih awal

- Diterbit 31 Mei 2021 7:30 AM MYT

PELUANG memperoleh ­vaksin tidak harus disia-siakan ­kerana ia merupakan ikhtiar untuk menghalang virus COVID-19 menjangkiti seseorang.

Melalui inisiatif yang ­dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), golongan gelandangan yang di tempatkan di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana serta beberapa Pusat Gelandangan Sementara telah ditawarkan suntikan ­imunisasi vaksin COVID-19 ­pada Khamis lalu.

Bagi Low Eng Hong, 56, yang berasal dari Kuala Lumpur, dia mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana terpilih ­sebagai penerima vaksin tanpa perlu berurusan dengan pihak berkuasa.

“Saya sangat teruja ­apabila pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan taklimat mengenai program vaksin ini.

“Suntikan ini sangat ­penting kerana ia dapat menghindari badan kita daripada ­dijangkiti virus dan untuk melindungi kami serta semua masyarakat.

“Apa yang paling penting, suntikan ini dibuat di kawasan penempatan tanpa ­memerlukan kami untuk keluar dan ini ­jarang berlaku,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Eng Hong berkata, ­sebelum disuntik beberapa kaunter ­saringan disediakan ­untuk ­tujuan konsultasi dan ­pengakuan terima atau menolak untuk ­divaksin dihadapan ­pegawai kesihatan.
“Perkhidmatan sangat bagus dan kakitangan juga mesra, jadi prosesnya juga mudah.

“Malah saya turut mengakui tidak gementar untuk menerima suntikan kerana ia merupakan satu keperluan dan selepas disuntik vaksin, saya tidak ­rasa sakit dan mungkin ­belum ­merasai kesan ­sampingan,” katanya.

Bagi Mohd Shabri Mohd Derin, 57, program vaksin yang diperkenalkan kerajaan bagi mengelak daripada dijangkiti virus COVID-19 ini memang amat dinanti-nantikan kerana keadaan saya semakin bahaya.

“Apabila pihak DBKL ­memaklumkan program ­vaksin, saya gembira dan bersyukur kerana ia adalah ikhtiar untuk melindungi tubuh badan ­selain ia bertujuan untuk menjaga ­kesihatan,” katanya.

Mohd Shabri ­berkata, ­sebelum disuntik, petugas ­kesihatan akan menjalankan ­sesi temu bual ­untuk menyelidiki ­tentang ­sejarah penyakit yang ada ­serta menerangkan ­mengenai ­kesan sampingan apabila disuntik vaksin.

“Prosesnya mudah dan ­teratur serta petugas ­kesihatan sangat membantu. Dan ­apabila selesai disuntik, saya tidak merasa sakit dan harap ­tiada kesan ­sampingan yang ­memudaratkan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas