FESTIVAL Gebyar Nusantara yang bertujuan meraikan kekayaan seni, keunikan warisan dan keindahan pelancongan Indonesia bakal berlangsung selama dua hari di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX) pada 30 November dan 1 Disember 2024.
Festival anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur memberi peluang kepada pengunjung Malaysia untuk meneroka destinasi pelancongan mengagumkan, menikmati hidangan autentik dan hiburan penuh warna dari Indonesia di bawah satu tempat.
Julung kali diadakan, festival itu juga bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke-79, sekali gus mengukuhkan lagi persahabatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono, berkata selain mengukuhkan persahabatan, Gebyar Nusantara juga menjadi pentas menambah baik dan memperkuatkan lagi hubungan perdagangan, pelancongan dan rakyat kedua-dua negara.
“Festival ini tidak hanya menonjolkan kekayaan seni dan warisan Indonesia, malah memperkasakan lagi hubungan perdagangan, pelancongan dan rakyat antara dua negara menerusi pelbagai aktiviti yang disusun,” katanya.
Acara yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung. Masuk adalah percuma.
Sepanjang dua hari, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat eksklusif dan promosi pelancongan istimewa ke destinasi menarik seperti Bali, Bandung, Lombok dan Kalimantan menerusi pameran daripada Kementerian Pelancongan Republik Indonesia.
Selain itu, festival itu juga menawarkan aneka juadah Nusantara yang menonjolkan cita rasa unik setiap wilayah di Indonesia seperti Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, Ayam Gepuk Top Global, Mama Medan, Betawi Indonesian Cuisine, selain pilihan variasi kopi popular dari negara tersebut.
Festival ini juga menyajikan hiburan tanpa henti menerusi persembahan muzik tradisional dan kontemporari dari artis terkenal Indonesia yang membawa semangat seni Nusantara terus ke pentas.
Antara tarikan adalah pengunjung berpeluang merasai pengalaman mengujakan di terowong interaktif Zona Merah, malah dapat bertemu secara langsung pelakon utama drama popular Indonesia iaitu Devano dan Maria Theodore pada sesi istimewa bersama peminat.
Gebyar Nusantara dimeriahkan lagi dengan kemunculan penyanyi yang sedang mencipta nama di sini, Allen Anderson, selain persembahan lagu-lagu galau daripada Kureiji dan Patriot. Turut menyerikan segmen persembahan ialah Erul Samah dan JZ Vibes.
Gebyar Nusantara juga membuka ruang kepada pengunjung meneroka hasil seni dan kraftangan Indonesia, selain mengambil bahagian dan berinteraksi dengan pengkarya yang terlibat.
“Festival ini tidak hanya mempromosikan pelancongan Indonesia, tetapi juga meraikan hubungan erat antara pelaku industri pelancongan kedua-dua negara.
“Gebyar Nusantara menjadi platform mempertemukan pemain industri pelancongan, pengusaha kecil dan sederhana (UMKM) dan masyarakat umum dari Malaysia dan Indonesia untuk menjalin kerjasama strategik,” katanya lagi. – WILAYAHKU