Artikel

Gaza terus bermandi darah

Foto: AP Photo/Abdel Kareem Hana
- Diterbit 9 Ogos 2024 12:20 PM MYT

PEMANTAU Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata bahawa tentera Israel sedang melancarkan perang intimidasi dan pemindahan paksa terhadap penduduk Gaza dan utaranya di tengah-tengah gelombang besar perpindahan.

Euro-Med Monitor mengumumkan bahawa ia mendokumentasikan perpindahan puluhan ribu penduduk Gaza dari pelbagai kawasan di bandar itu, dan mereka kini berada di tempat terbuka dengan mengenakan fait accompli (sudah dilakukan) tanpa menyediakan sebarang koridor untuk perpindahan yang selamat.

Organisasi tersebut mendedahkan bahawa operasi pemindahan berlaku berdasarkan arahan pemindahan bercanggah yang dikeluarkan oleh tentera Israel di kawasan besar Gaza, bertepatan dengan kesinambungan kebuluran yang menular dan pembunuhan yang berleluasa.

Dalam pada itu, tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan dengan pencerobohan darat ke kawasan barat laut Gaza yang sesak dengan puluhan ribu orang yang berpindah, beberapa jam selepas ia bertanya kepada penduduk At-Tuffah, Ad-Daraj dan Asy-Syuja’iya di kejiranan Timur Gaza, untuk pergi ke kawasan yang disasarkan.

“Kami bimbang dengan laporan berpuluh-puluh kematian dan kecederaan yang kerap berlaku akibat tentera Israel bertindak ke atas penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Gaza tanpa amaran serta bercanggah dengan arahan pemindahan. Ia berlaku ketika pencerobohan mengejut ke tenggara Gaza dan kemudian ke kawasan kejiranan barat laut bandar, di bawah perlindungan api yang menyasarkan jalan raya,” kata Euro-Med.

Organisasi itu mengesahkan bahawa ia memantau beberapa siri serbuan Israel dengan berpuluh-puluh bom dan tembakan peluru meriam bersempena pencerobohan darat yang berterusan ke kawasan besar Gaza, termasuk serbuan, penangkapan orang awam serta pembunuhan.

Israel masih mengamalkan dasar sistematik yang menyasarkan orang awam di Semenanjung Gaza yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, di mana-mana sahaja mereka berada, dan menghalang mereka daripada menikmati sebarang keamanan, walaupun sementara, di pusat perpindahan dan perlindungan.

Israel sengaja menampakkan kejahatannya dengan melakukan pembunuhan dan membiarkan kebuluran untuk mengenakan pemindahan paksa ke atas penduduk Gaza, seterusnya memusnahkan semua komponen asas kehidupan termasuk menyasarkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pusat perlindungannya.

Tidak terkecuali, mereka melakukan pembunuhan besar-besaran yang setiap satunya merupakan jenayah  antarabangsa sepenuhnya.

Lenyapnya keselamatan

Euro-Med menambah bahawa metodologi pengeboman Israel menunjukkan wujudnya dasar yang jelas bertujuan untuk melenyapkan keselamatan dari seluruh Semenanjung Gaza dan menghilangkan perlindungan atau kestabilan Palestin, walaupun sementara, dengan meneruskan pengeboman di seluruh Semenanjung dan menyasarkan pusat perlindungan di sekolah dan ibu pejabat UNRWA.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med ialah organisasi bebas dan bukan bermatlamatkan keuntungan yang diketuai oleh belia yang memperjuangkan hak asasi manusia di seluruh Eropah dan rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara), terutamanya mereka yang hidup di bawah penjajahan atau dalam pergolakan peperangan atau politik termasuk yang dipindahkan kerana penganiayaan atau konflik bersenjata.

Terdahulu, pada April lalu tentera pendudukan Israel telah menyasarkan ribuan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa ketika cuba pulang ke rumah mereka di Gaza dan utaranya.

Pemindahan paksa

Jenayah serius yang dilakukan oleh tentera Israel ialah jenayah pemindahan paksa. Ia bertujuan untuk memusnahkan kehidupan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, yang termasuk dalam kerangka jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel.

Sejak 12 Oktober tahun lalu, iaitu lima hari selepas bermulanya jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, tentera penjajah Israel telah cuba melaksanakan kempen pemindahan paksa terbesar terhadap kira-kira 1.1 juta penduduk Gaza dan di utara Semenanjung Gaza.

Mereka dipaksa berpindah ke tengah dan selatan Semenanjung Gaza tanpa tempat yang selamat untuk dituju dan tanpa sebarang jaminan untuk membenarkan mereka kembali pada masa hadapan. Tiada juga jaminan keselamatan dijanjikan semasa perpindahan mereka.

Pada 1 Disember, tentera Israel memperluas perintah pemindahan paksa di kawasan besar bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza dan kemudian kawasan di tengah Semenanjung Gaza untuk pemindahan ke bandar Rafah di selatan Gaza.

Penderitaan rakyat yang dipindahkan secara paksa di Semenanjung Gaza mesti ditamatkan. Kepulangan segera mereka ke kawasan kediaman sendiri mesti disegerakan memandangkan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat serta kompleks yang mereka alami. Israel mesti dihalang daripada terus bertindak dengan mengetepikan undang-undang antarabangsa.

Pencerobohan berterusan

Pencerobohan Israel terhadap Semenanjung Gaza memasuki bulan kesepuluh serangan dan pengeboman yang berterusan.

Pada Selasa lalu (9 Julai), tiga orang dilaporkan mati syahid dan yang lain cedera, akibat pengeboman penjajah Israel di bandar Rafah.

Sumber menunjukkan bahawa helikopter Apache Israel melepaskan tembakan terbaharu ke kawasan barat Rafah.

Enam rakyat turut syahid akibat pesawat tentera Israel menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Muhanna di Jalan Al-Jalaa berhampiran persimpangan Al-Ghafri, di utara Kota Gaza, manakala pasukan perubatan berjaya memulihkan bayi yang ditemui masih hidup.

Ambulans dan anggota pertahanan awam dilihat merawat seorang kanak-kanak dan beberapa orang yang cedera dari sebuah rumah yang dibom di Jalan An-Nafaq di Kota Gaza.

Tidak hairanlah masyarakat dunia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa mengadakan bantahan secara besar-besaran sama ada melalui perhimpunan dan perarakan mahupun memboikot syarikat atau barangan yang jelas menyumbang kepada ekonomi Israel.

Penulis Atriza Umar merupakan Pegawai Kanan, Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM, Duat Al-Falah.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas