GARIS panduan berkenaan penanaman dan penjagaan pokok akan dikaji semula berdasarkan keadaan khususnya dalam perubahan iklim yang dirasai kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata satu perbincangan berkaitan pelaksanaan dan penjagaan pokok sekitar Kuala Lumpur akan diadakan dalam masa terdekat bersama jawatankuasa yang telah ditubuhkan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Saya difahamkan ada formula khusus dalam penanaman dan penjagaan pokok ini, jadi itu akan diambil kira dan dalam masa terdekat ini kita akan duduk dan bincang apakah pelaksanaan yang terbaik mungkin boleh dilakukan.
“Ia akan diadakan bersama jawatankuasa khas dan turut menjemput NGO yang mahir dalam hal ini seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Persatuan Arborist Malaysia (Arborist),” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Haji Muasassah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024/1445H bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada hari ini.
Zaliha berkata tindakan itu bagi mencari mekanisme serta menaik taraf pelaksanaan garis panduan sedia ada berkaitan isu tersebut.
“Kita sudah ada garis panduan tetapi mungkin akan dikaji semula dalam keadaan berbeza tambahan pula dengan perubahan iklim di mana cuaca juga tidak menentu jadi kita akan tengok pelaksanaan garis panduan yang baharu,” ujarnya.
Tambah beliau sebanyak 200,000 pokok telah dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa pokok berisiko tinggi telah ditebang.
“Kita telah buat penebangan pokok dan terakhir pada minggu lalu, saya difahamkan terdapat sebanyak 28 pokok belum ditebang lagi.
“Bagaimanapun, kita sarankan pokok-pokok yang ditebang ini perlu diganti dan lihat dari semua sudutlah seperti berapa jumlahnya. Kita akan tengok semua faktor itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata beliau bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menghulurkan sumbangan kepada kesemua mangsa terlibat pada minggu lalu.
“Kita turut memberikan sejumlah sumbangan kepada keluarga arwah dan juga dua lagi mangsa iaitu pemandu Grab dan penumpangnya warga Sweden. Alhamdulilah nampaknya walaupun ada kecederaan tetapi mereka dijaga dengan baik,” jelasnya. – WILAYAHKU