KERAJAAN mengambil maklum polemik berkaitan garis panduan penglibatan umat Islam dalam acara penganut agama lain dan komited memastikan keharmonian antara agama terus terpelihara menerusi pendekatan dialog serta pendidikan berteraskan prinsip Malaysia Madani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata seiring dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2025, JAKIM akan mempergiat kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi menganjurkan program Dialog Harmoni sebagai platform mempromosikan perpaduan nasional.
“JAKIM memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah sambil memastikan perpaduan antara masyarakat terus kukuh.
“Langkah tersebut adalah selaras dengan tekad kerajaan membina negara yang bersatu dalam kepelbagaian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Dalam masa yang sama, kata Mohd Na’im, Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan terus diperkasakan untuk memperkukuh interaksi antara umat Islam dan penganut agama lain.
“Agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti JAKIM, IKIM, YADIM, dan TV Alhijrah juga akan memainkan peranan dalam memperhebat usaha dakwah serta memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan nilai hormat, ihsan, dan kesejahteraan bersama dalam membina masyarakat yang bersatu padu serta harmoni.
“Kerajaan menegaskan bahawa segala usaha dalam membentuk garis panduan berkaitan penglibatan umat Islam dalam acara bukan Islam akan dibuat secara inklusif dengan mengambil kira pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan serta pihak berkuasa agama negeri-negeri.
“Matlamat utama adalah keseimbangan antara menjaga prinsip Islam dan mengukuhkan perpaduan dalam negara, demi kemakmuran serta kestabilan negara secara menyeluruh,” ujarnya.-WILAYAHKU