Artikel

Garis laluan di plaza tol

- Diterbit 9 Ogos 2024 3:40 PM MYT

BUKAN pemandangan luar biasa apabila keluar daripada plaza tol di lebuh raya berlaku kesesakan. Kenderaan tidak bergerak. Selepas tol kereta berlonggok terhenti menyebabkan yang di belakang turut tersangkut‚ tidak boleh masuk plaza tol.

Ini kerap berlaku khususnya pada hujung minggu‚ atau pada hari cuti dan perayaan di mana kenderaan bertali arus memasuki plaza tol. Kawan-kawan Kedai Kopi sendiri sudah beberapa kali melalui pengalaman ini.

Pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi‚sebab utama ia berlaku kerana tidak ada garis putih penanda lorong laluan sebaik keluar daripada plaza tol. Kedudukan kenderaan hiruk-pikuk‚ bergerak menyelit masuk menyebabkan kesesakan teruk. Masing-masing cuba hendak cepat melepaskan diri. Namun kerana tiada garisan penanda lorong‚ semua tersangkut.

Garisan lorong hanya mula kelihatan setelah jauh daripada plaza tol. Apabila sampai ke dalam lorong laluan ini barulah pergerakan kenderaan agak terkawal dan bertambah lancar. Garisan lorong ini sangat berguna sebagai panduan kepada pemandu untuk berada di lorong sepatutnya.

Tidak faham kenapa pemegang konsesi tidak menandakan lorong laluan ini daripada tempat keluar plaza tol‚sebaliknya membiarkan pemandu teraba-raba bergerak dalam kesesakan.

Sebelum memasuki tol pun ada masalah tiada penanda lorong memasuki tol. Kerana itu kenderaan yang hendak memasuki tol bersimpang-siur tertinjau-tinjau mana laluan yang menuju ke arah sentuhan kad atau laluan pantas.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas