TERKEJUT dan tidak sangka! Itulah reaksi sesetengah netizen apabila melihat foto isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam laman sosial Instagram Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Tanpa usul periksa, pihak yang tidak bertanggungjawab terus menyebarkan gambar tersebut dan bermula dari situ netizen mula mendakwa Wan Azizah menyokong Israel.
Fitnah yang bertebaran di semua platform media sosial itu turut mengundang persepsi jahat dan tidak kurang juga ramai yang terus-terusan mengecam tindakan Wan Azizah yang dikatakan tidak sensitif dengan isu Palestin.
Tak fahamlah, mudah betul orang sekarang sebarkan fitnah. Belum tahu hujung pangkal terus nak jatuhkan salah. Esok lusa bila dah tahu kebenarannya janganlah menyorok pula.
Enggan membiarkan perkara tersebut terus berlarutan, pihak Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menzahirkan rasa kecewa dengan tohmahan yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak tersebut.
Dalam satu kenyataan media, AMK Johor mendedahkan bahawa tohmahan itu dibuat sewaktu perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Amerika Syarikat pada 21 September lalu.
“Perjumpaan tersebut merupakan sebuah tradisi yang diadakan sebagai pentas meraikan semangat demokrasi untuk isteri-isteri pemimpin dari setiap negara untuk beramah mesra dan berkongsi pandangan terhadap isu-isu semasa.
“Majlis tersebut turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri Turkiye, Emine Erdogan yang dilihat mesra dengan Wan Azizah. Bagaimanapun, situasi itu cuba diputar belit kononnya Wan Azizah akrab dengan isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu.
“Kebencian tidak berasas ini sengaja disebarkan dengan niat menjejaskan hubungan baik kerajaan Malaysia dan Palestin selama ini,” menurut kenyataan media tersebut.
Sehingga ke hari ini kerajaan telah berjaya menyalurkan dana lebih RM10 juta bagi membantu kegiatan kebajikan dan kemanusiaan di Palestin.
Kejayaan menyalurkan dana tersebut secara keseluruhannya membuktikan ketekunan kerajaan Malaysia dalam membantu negara Islam yang memerlukan bantuan di peringkat antarabangsa.
Sebelum sebarkan sebarang berita, eloklah siasat dulu. Tahukah anda, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. – WILAYAHKU