KERAJAAN terbuka untuk meluluskan penggunaan ganja perubatan di Malaysia, namun menegaskan bahawa setiap permohonan perlu disertakan dengan bukti saintifik yang kukuh dan mematuhi undang-undang sedia ada.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga kini tiada sebarang produk berasaskan kanabis yang berdaftar untuk kegunaan perubatan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Bagaimanapun, KKM menegaskan bahawa akta sedia ada telah memperuntukkan kawal selia bagi pengimportan, penjualan, pembekalan, dan pemilikan produk berasaskan kanabis untuk tujuan perubatan.
“Sekiranya terdapat bukti saintifik yang mencukupi bagi keberkesanan produk kanabis untuk tujuan perubatan, pihak berkaitan boleh mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum ia boleh dipasarkan di negara ini,” kata KKM dalam jawapan bertulis Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai kemungkinan kerajaan meluluskan penggunaan ganja perubatan dan membenarkan penanaman hemp sebagai sumber ekonomi baharu untuk petani serta negara di Dewan Rakyat
Dalam perkembangan berkaitan, KKM turut menjelaskan bahawa penanaman kanabis atau hemp masih dilarang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kecuali bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, eksperimen, atau perubatan dengan kebenaran khas daripada Menteri Kesihatan.
“Setakat ini, satu-satunya produk berasaskan kanabis yang pernah didaftarkan di Malaysia ialah Sativex pada tahun 2014, namun pendaftarannya dibatalkan pada 2017 kerana tiada permintaan pasaran,” katanya.
KKM berkata secara prinsipnya kerajaan tidak menolak potensi kanabis dalam bidang perubatan, namun ia tetap berpegang kepada prinsip ketat bagi memastikan aspek keselamatan dan keberkesanan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Buat masa ini, penggunaan dan penanaman kanabis kekal dikawal ketat, dengan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang berkaitan,” katanya.-WILAYAHKU