DIANA AMIR & SABRINA SABRE
HARAPKAN pegar, pegar makan padi. Perumpamaan itu menggambarkan jenayah sumbang mahram yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Sumbang mahram boleh didefinisikan sebagai pencabulan seks yang berlaku dalam kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari konteks Islam disebut muhrim atau mahram.
Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2023 menunjukkan jenayah seksual melibatkan mangsa berusia 18 tahun ke bawah atau kanak-kanak meningkat setiap tahun bagi tempoh 2020 hingga 2022 dengan jumlah keseluruhan 4,570 kes.
Ia antaranya membabitkan rogol, sumbang mahram, seks luar tabii, cabul kehormatan dan gangguan seksual.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak menunjukkan trend membimbangkan dan jumlah tersebut bagaimanapun disifatkan sebagai tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam negara kerana yakin terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan laporan mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang didakwa menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun di Kelantan dan pendedahan menggemparkan itu dibuat oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Dalam sidang media tersebut, beliau turut memaklumkan kes sumbang mahram di Kelantan semakin membimbangkan dan saban tahun kejadian rogol bawah umur juga berlaku kerana suka sama suka dan bukannya paksaan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata kesan terhadap kanak-kanak yang terlibat dalam perbuatan sumbang mahram adalah kompleks dan boleh memberi impak jangka panjang terhadap perkembangan psikososial, emosi dan moral mereka.
“Antara kesan utama adalah mereka boleh mengalami kekeliruan moral dan identiti diri kerana tidak memahami batasan moral dan undang-undang yang wujud dalam hubungan kekeluargaan. Kanak-kanak yang terlibat mungkin terdedah kepada persekitaran yang normalisasi perbuatan tersebut sama ada melalui pengaruh bahan lucah, ketiadaan didikan agama atau kurang pengawasan.
“Hal ini menyebabkan mereka membesar dengan kekeliruan tentang nilai betul dan salah serta tidak memahami kesan serius perbuatan mereka terhadap mangsa dan diri sendiri.
“Selain itu, mereka boleh mengalami trauma dan tekanan emosi serta gangguan perkembangan sosial dan psikologi kerana terlibat dalam tingkah laku seksual yang tidak sesuai pada usia muda selain mengganggu proses perkembangan semula jadi kanak-kanak.
“Mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk membina hubungan sihat dengan rakan sebaya, mengalami masalah disiplin di sekolah, atau menunjukkan tingkah laku agresif atau menyendiri,” katanya kepada Wilayahku.
Ummu Atiyah berkata perlakuan sumbang mahram turut memberi kesan terhadap golongan dewasa seperti trauma psikologi dan emosi; konflik dalaman sehingga mencetuskan ketidakseimbangan emosi yang serius; kesukaran mewujudkan hubungan yang sihat serta sukar untuk membina kepercayaan terhadap individu lain.
“Selain itu, terdapat risiko pengulangan corak kitaran penderaan sekiranya mangsa tidak menerima bantuan psikologi sebaiknya di mana terdapat kemungkinan mereka membenarkan perkara sama berlaku kepada anak-anak mereka.
“Seterusnya seperti diketahui, perbuatan sumbang mahram akan menghancurkan institusi kekeluargaan,” tegasnya.
Beliau memberitahu ia boleh menyebabkan perpecahan keluarga, kehilangan kepercayaan, permusuhan dalam kalangan ahli keluarga, dan anak-anak membesar dalam persekitaran yang tidak sihat.
Kesan ini katanya bukan sahaja kepada mangsa dewasa tetapi juga mangsa kanak-kanak.
“Sumbang mahram menghancurkan asas institusi keluarga itu,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Gabungan Wanita Negeri Kedah (WANIDA).
Ummu Atiyah berkata terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada sumbang mahram antaranya kurang pendidikan, kefahaman dan penghayatan moral dan agama di mana jika diteliti kebanyakan kes melibatkan bapa kandung, bapa tiri, abang kandung, abang tiri, datuk atau bapa saudara sebagai pelaku terhadap anak, adik, anak saudara atau cucu sendiri.
“Sepatutnya mereka memainkan peranan sebagai pelindung, namun sebaliknya menjadi pemangsa dan lebih membimbangkan, ada yang beranggapan mangsa adalah ‘hak’ mereka dan tidak melihat perbuatan itu sebagai satu dosa atau kesalahan besar.
“Selain itu, masih terdapat segelintir wanita (ibu) yang sanggup menggadaikan anak sendiri semata-mata untuk mengekalkan rumah tangga mereka, contohnya kerana tidak mampu memenuhi keperluan seksual suami akibat faktor kesihatan atau umur, mereka rela membiarkan anak menjadi mangsa daripada membiarkan suami berkahwin lain atau ditinggalkan,” katanya.
Jelasnya ini juga terkait rapat dengan struktur kuasa dalam keluarga.
“Dalam beberapa kes sumbang mahram, ibu membiarkan anak dimangsakan kerana bimbang kehilangan suami yang menjadi tempat bergantung, terutamanya dari segi kewangan. Kebergantungan ini akhirnya membolehkan pemangsa terus berkuasa dan mengulangi perbuatan terkutuk dalam keluarga tersebut.
“Seterusnya tekanan ekonomi menyebabkan sesetengah keluarga tidak mampu menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat. Rumah yang sempit dan tidak cukup bilik menyebabkan anak-anak terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya, seperti melihat hubungan kelamin ibu bapa, atau berkongsi tempat tidur tanpa privasi.
“Keadaan ini meningkatkan risiko berlakunya pencabulan atau gangguan seksual di dalam keluarga terutamanya kepada anak-anak yang sedang membesar dan mencapai usia baligh,” jelasnya.
Beliau berkata tidak dinafikan dengan kecanggihan teknologi kini membuatkan pemangsa mempunyai akses mudah kepada bahan pornografi yang secara tidak langsung menggalakkan hubungan seks dan memperlihatkannya sebagai sesuatu yang normal. – WILAYAHKU