DASAR Orang Upaya Negara menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
Ia bertujuan antaranya adalah untuk memastikan OKU mempunyai hak dan peluang yang sama tanpa sebarang diskriminasi atas sebab ketidakupayaannya serta mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka sebagai OKU.
Sempena Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan esok, Pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Hanira Hanafi berkata usaha ini tidak dapat dicapai melainkan dengan kerjasama penuh dan bersepadu daripada semua pihak serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pakar perubatan, pekerja sosial dan orang ramai.
“Sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin dan penyayang, kita semua mempunyai peranan yang berbeza untuk membantu usaha ini tanpa mengira di peringkat mana kita berada.
“Antaranya meningkatkan kesedaran terhadap kewujudan golongan OKU dalam masyarakat perlulah dipupuk sejak dari kecil lagi. Perkara ini amat penting agar golongan OKU tidak dipinggirkan dalam masyarakat.
“Selain itu, tingkatkan kepedulian awam dan empati semakin meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap golongan OKU, semakin bertambah juga sokongan dan empati yang dapat dihulurkan oleh kita kepada mereka.
“Contohnya sekiranya anak OKU di bawa ke tempat awam dan mengalami tantrum yang tidak dapat dikawal, sikap empati masyarakat yang berada di situ sedikit sebanyak membantu emosi penjaga atau ibu bapa kanak-kanak OKU dari perasaan tertekan,” ujarnya.
Tambahnya selain itu perlu tingkatkan program intervensi untuk kanak-kanak OKU merujuk kepada pelbagai jenis program yang direka khusus untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai pelbagai keperluan khas.
“Tujuan utama program ini adalah untuk menyokong perkembangan dan pembelajaran mereka, serta memastikan mereka mendapat peluang yang sama seperti kanak-kanak lain,” ujarnya. – WILAYAHKU