Berita

Ganding bahu jaya ulang tahun ke-50 Wilayah Persekutuan

ROSIDA (depan, tiga dari kiri) menerima plak penghargaan daripada Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin sempena lawatan penggiat media Labuan ke Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 9 September 2023 1:00 AM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menyeru ­jabatan dan agensi kerajaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berganding bahu ­menjayakan ­program, ­sempena ulang ­tahun ­ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun hadapan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Rosida Jaafar, ­pihaknya merancang satu ­siri ­program menarik dan inklusif untuk menandakan ­peristiwa bersejarah bagi ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan.

Beliau menjangkakan ­pelaksanaan program pertama akan bermula pada awal Oktober ini.

“Sambutan itu dijangka menjadi ekstravaganza selama setahun yang akan mendekatkan masyarakat dan mempamerkan identiti unik setiap Wilayah Persekutuan (WP).

“Antara cadangan program ­untuk menambahkan kemeriahan ­sambutan itu adalah Pasport 50WP, Kanvas Titik Demi Nombor WP, Sahabat 50 WP, Wacana Ilmu Malaysia MADANI 50 WP, Suara@50 WP dan Teaterikal Gemuruh 50WP.

“Selain itu program lain yang dilaksanakan ialah Wilayah Persekutuan Berselawat, Sarapan Sihat@WP, Sukan Berpeluh@WP, Festival Biodegradesi@WP, Jualan Rahmah, MyGrocer@MySelera@WP dan Sambutan Wilayah Persekutuan 2024,” katanya kepada ­pemberita selepas beramah mesra bersama Persatuan Penggiat Media Labuan di Menara Seri Wilayah, ­baru-baru ini.

Rosida berkata JWP ­mensasarkan untuk mewujudkan perayaan ­inklusif dan tidak ­dapat dilupakan yang menghimpunkan penduduk, ­agensi kerajaan, ­badan ­bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan.

“Dengan menggalakkan ­penyertaan dari seluruh pelosok Wilayah Persekutuan, sambutan ulang tahun ke-50 ini menjanjikan gambaran perpaduan, kepelbagaian dan kemajuan,” kata beliau.

Beliau berkata rakyat Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan boleh menantikan tahun yang penuh dengan keseronokan, pertukaran ­budaya dan pembinaan ­masyarakat ketika mereka berganding ­bahu ­meraikan perjalanan luar ­biasa Wilayah Persekutuan sejak lima dekad lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas