BANYAK manfaat diperoleh masyarakat menerusi kehidupan aktif dengan bersukan antaranya tubuh sentiasa bertenaga dan kekal sihat.
Lantas, kehadiran 200 orang peserta menyertai Program Fit Komuniti @ Putrajaya sekali gus memberi isyarat jelas akan komitmen orang ramai untuk menjalani kehidupan sihat termasuk kepentingan dalam mengamalkan pemakanan yang sihat.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, program seperti ini menjadi platform penting untuk memupuk gaya hidup sihat dan aktif serta memperlihatkan semangat kebersamaan melalui penyertaan komuniti yang luar biasa.
“Peserta disajikan dengan acara senamrobik diikuti dengan aktiviti hiking trail yang memberikan peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi.
“Program ini membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menyertai dan mengekalkan gaya hidup sihat dan cergas.
“Mari kita teruskan usaha ini demi memastikan Putrajaya kekal sebagai negeri yang aktif, sihat dan berdaya maju,” ujarnya.
Terdahulu, program tersebut turut dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk WP Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abd Karim. – WILAYAHKU